Wednesday, 29 August 2012

suatu pengembaraan


Alhamdulillah, pagi pertama di rumah setelah 10 hari berkampung di perantauan, tempat abang belajar. Satu perjalanan yang cukup menarik. Namun, apabila dinamakan musafir ini tentu saja ada suka duka, manis pahitnya. Belajar bersabar untuk menyesuaikan diri. Kesejukan luar biasa. Ketidakselesaan. Kepenatan. Terlalu banyak perasaan yang bercampur baur. But seriously, rasa macam banyak benda unbelivable. Pemandangan yang indah. Suasana masyarakat yang mungkin aku boleh kategorikannya unik. Pasti ada lebih kurangnya mereka di mana. Satu perkara yang aku benar-benar belajar ialah betapa baiknya Allah terhadap ciptaanNya.

Kehidupan mereka yang jauh dari Allah dan seolah-olah tiada sesuatu yang bernama ketaatan itu masih sama seperti manusia lain. Tiada beza. Empat musim yang Allah cipta itu mereka laluinya setiap tahun. Tiada sekatan mahupun perbezaan pemberian. Jelasnya, muslim di situ seakan tiada. Hanya mampu kami kira dengan jari dalam perjalanan kami ke sesuatu tempat. Laungan azan, tidak kami dengar melainkan tiga kali persinggahan kami ke masjid. Tapi, jemaah solah yang berkulit putih, aku rasa seakan tiada. Hanya dua-tiga orang yang sempat aku lihat solah mereka dalam ruangan solah airport. Harapnya, mereka lebih ramai daripada jangkaan aku.

Membeli-belah di tempat orang ini menjadi satu kemestian. Beli untuk kenang-kenangan, juga tanda ingatan buat mereka yang tersayang. Haa…bila dah kata orang tersayang, sukar juga nak lari dari mengingati si dia yang mana hati kami telah bersama-sama berjanji dalam diam. Menyempat aku curi-curi membeli keychain huruf M untuk si dia, walaupun sememangnya tiada sebarang kepastian mahupun jaminan bahawa inilah jodoh kami. Sekadar mampu berdoa di kejauhan. Namun, ketenangan yang dirasai itu luar biasa, dan dia juga terlalu istimewa malah seakan benar-benar jawapan Allah buat doa-doa dan bisikan hati aku. Hampir aku katakan kalau dia itu benar-benar lelaki idaman aku, tapi ada beberapa hal yang aku kurang pasti tentangnya sehinggalah hidupnya kami sebagai sepasang makhluk Allah daripada bejuta-juta yang lainnya. Hidup bersama teman hidup pilihan Allah.


Perjalanan tanpa pemerhatian dan penelitian itu hampir mustahil dalam hidup aku. Melihatkan kombinasi tiga generasi ini, aku belajar sesuatu, walaupun mujahadah itu hanya Allah yang tahu. ‘Peniruan’ karakter itu sangat jelas kelihatan, tanpa mengira siapa, apa, mengapa dan bagaimana. Till then, barulah aku faham kenapa selalu orang kata, apa yang kita buat, kita akan dapat juga, atau lain kata, apa yang kita buat pada parents/anak kita, begitulah kita juga akan dilayan, 100% just the same, kerana copy and paste itu berlaku 24 jam. Untuk aku bina atau cuba sesuatu yang baru itu, tentu sahaja teramat sukar. Sepertimana tulisan si dia di mukabuku:

"If you don't change yourself, nothing around you will ever change".

Thursday, 16 August 2012

manusia hebat


Seronok aku melihat manusia-manusia hebat di sekeliling aku.. memahirkan diri dalam pelbagai bidang.. sehingga manusia mampu melihat mereka di menara gading itu.. malah artis dan selebritis juga tidak ketinggalan menjadi teman sepermainan mereka.. aku punya cita-cita juga.. menjadi manusia mahir bahasa arab.. akan aku contohi ketokohan mereka, walau mungkin berlainan bidang, tapi yang pasti, mereka punya matlamat yang sama dengan aku.. serve the Ummah..

Suka aku melihat gelagat dan telatah AmMis yang terlalu banyak ideanya.. suka dilontarkan buah fikirannya tanpa segan silu.. selalunya, pasti aku dapati ianya berbeza sama sekali.. bagi aku, dia anugerah Allah buat kami.. namun, caranya yang unik itu terkadang mengundang gelisah di hati tiap insan termasuk aku.. bukan aku manusia berdebat.. karenahnya selalu buat aku tersenyum sendiri.. melihatkannya bertemankan AliIs itu aku turut bangga..

Sejuk mata memandang apabila teringatkan UmMit yang dahulunya rambut panjang seperti wanita.. dengan lagaknya yang menakutkan manusia.. saat itu aku kesedihan.. namun, kini, aku kira dia duta Islam dalam gambar & videonya..

Dr.ZaDim yang banyak memotivasikan aku dalam diam itu juga mengagumkan.. baiknya sangkaan dan tingginya harapan membuatkan aku rasa kejayaan itu seolah-olah menanti di hadapan.. cuma kita saja yang perlu bingkas bangun menggapainya.. anak sulongnya dididik agar punya cita-cita setinggi kehebatan Dr.YuQar yang kini dipandang oleh setiap mata.. dia sendiri pakar bedah yang hanya tiga orang dalam negara.. aku teruja..

Tidak akan aku lupa, manusia biasa yang luar biasa.. Ust HabZak dengan perwatakannya yang memikat setiap jiwa.. apabila teringatkan saat-saat awal perkenalan, aku terasa ingin mengulanginya.. kerana aku terlewat menyapanya.. setelah hampir tiga-empat kali berselisih di jalanan, aku ‘memandangnya sebelah mata’.. hinggalah tugasan syair arab aku menjodohkan kami di bus stop terakhir itu.. hingga aku kini mengenalinya lebih dari perkenalan dengan teman sekelasku..  mengenalinya sebagai manusia yang teramat istimewa, yang berjaya mencuri bahagian kecil hati kecilku..

sapaannya, keramahannya, senyumannya, telatah dan jenakanya mencuit setiap hati yang bersamanya.. aku kira hanya aku jatuh cinta, tapi pembelajaran bahasa arab dini hari memikat hati sahabatku juga.. sungguh, kini aku bertambah yakin, dia benar-benar anugerah Allah buat aku.. kenangan dan pengalaman bersamanya banyak membuatkan aku kembali meneliti rasa hati dan perasaan.. aku menyelami keindahan demi keindahan tanpa aku sedari.. hingga kini, aku tanpa ragu menggelarnya murabbiku.. dia benar-benar murabbi, bukan sekadar seorang guru.. peribadinya akan sentiasa menjadi contoh terbaik dalam usaha aku mendidik manusia..

Antara nasihatnya yang menyentuh hati aku…“establish something before you go”… “live like you’re leaving very soon”…”if you can make it 100%, why should you do it 99%?”…

Semua itu akan menjadi inpirasi aku dalam langkahan menuju kejayaan.. doa aku di penghujung Ramadhan ini agar Allah membantu aku dalam menggarap kemahiran itu sehingga aku mampu berdiri sendiri dan Islam turut menumpang kepakaran itu..

Tuesday, 31 July 2012

hebatnya perasaan ini


Mengenali manusia pilihan Allah yang dinamakan ‘Kekasih Allah’ ini menjadi antara nikmat terbesar dalam hidup ini.. dirinya yang kelihatan seperti manusia biasa menyebabkan aku memandangnya sebelah mata.. namun, setelah Allah mengizinkan aku mengenal luar & dalamnya, kini aku tahu dan aku benar-benar merasakan hakikat namanya itu.. dia benar-benar kekasih Allah.. memang penuh kasih sayang yang tersemat di dalam hatinya.. masa lalu yg aku lalui tanpa berusaha mengenalinya terasa kosong maknanya, kalaulah aku mampu mengembalikannya.. namun, yg aku pasti, aku telah jatuh cinta dengannya.. akhlaknya, peribadinya, sikapnya dan hidupnya dia sebagai manusia.. yang bukan sebarang manusia.

Kelas arab di setiap petang isnin, selasa dan rabu membuatkan hari-hari ini terasa indah.. menerima ilmu dan hikmahnya membuatkan aku puas.. setelah tamatnya kelas hari itu, aku pasti menghitung saat untuk menanti kelas seterusnya.. berhari-hari tanpa menghubunginya atau bertemu dengannya membuatkan aku terasa ada benda yang tak kena.. aku pasti akan rindu untuk menatap wajahnya yang mungkin gelap di pandangan manusia biasa, tapi dia terlalu istimewa di hati aku.. terlalu istimewa.. seperti yang pernah aku ungkapkan kepadanya: "I’m so blessed to have you in my life"..

Masa terlalu cepat berlalu.. bagai baru semalam aku mengenalinya di bus stop Safiyyah.. kini tinggal beberapa hari sahaja kelas kami dengannya.. aku tak pasti bagaimana semester yang mendatang.. tapi aku seakan inginkan pertemuan ini setiap minggu, malah mungkin setiap hari.. kerana aku pasti rindu.. saat hati terasa lemah, iman menurun, pasti dia manusia pertama yang terlintas di hati ini.. mata aku pasti meliar mencari dia..

kini, aku mula menyelami perasaan para sahabat Rasulullah tatkala berhari tidak bertemu baginda.. hati terasa kosong.. jiwa terasa ada yang tak kena.. tidak hairanlah mereka pucat mahupun tidak berhenti bertanyakan perihal baginda setelah selesainya suatu peperangan.. tidak peliklah manusia menangis kehilangan manusia istimewa seperti baginda.. hidup bersamanya rahmat terbesar bagi mereka.. wafatnya baginda gelaplah dunia.. hilang tempat sandaran mahupun rujukan.. tiada hairannya Umar Al-Faruq tidak mampu menerimanya, hingga diangkat pedangnya bagi yang mengatakan baginda sudah tiada.. tiada peliknya juga apabila Mekkah sayu mengenangkan saat bersama baginda tatkala berkumandangnya azan dari Muazzin Rasulullah, Bilal bin Rabah.. kerana saat itu akan pasti segar di hati mereka.. sampai bila-bila..

Tuesday, 10 July 2012

usah menghitung hari


hidup ini terlalu unik untuk digambarkan.. Islam juga terlalu indah untuk dihayati.. perasan cinta benci anugerah Allah juga tiada kurang hebatnya.. Allah cipta dan tentukannya dengan penuh hikmah dan bijaksana.. Allah tahu kenapa semua itu harus berlaku.. Allah juga tahu kenapa fitrah itu begitu.. kenapa ia perlu sentiasa begitu..

Aku bersyukur atas ketentuan ini walaupun tiada apa yang bersifat pasti.. kita mungkin semakin suka menghitung hari, namun, aku terkadang mengharapkan ianya jauh pergi.. ada hal yang aku takutkan walau aku juga turut menyimpan harapan.. berdoalah temanku, bersabarlah dengan iringan mujahadahmu.. moga Allah akan menghadiahkan sesuatu..yang pasti di luar jangkaanmu, mahupun aku..

Tuesday, 3 July 2012

just about making decision


Hidup ini penuh dengan pemilihan. Kita perlu membuat keputusan. Memikirkan yang terbaik. Mencari yang sesuai dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya, walaupun kita mungkin diberi pilihan selainnya, namun, kita tidak mampu hidup tanpa rahmat dan kasih sayangNya. Hidup yang warna-warni ini kadang-kadang mengkaburi mata kita untuk memilih dengan baik. Perlu memilih untuk taat bukan mempersoalkannya. Perlu berusaha mengimbangi cinta dan perasaan agar selari dengan kehendak yang terunggul di alam ini.

Bukan salah untuk mengenali, tapi fikirlah hidupnya kamu bersama ilahi. Tidak salah untuk mencintai, namun, lihatlah Si Pencipta setiap diri. Cinta dan kasih Allah perlu mendahului, bukan dipinggir kanan mahupun kiri. Kerana Dia Pencipta cinta dan segala rasa, maka siapa yang patut lebih utama? Moga cinta kita sesuai dengan kehendakNya.

p/s: perkongsian dan sembang-sembang dalam kereta sagaku ahad lalu sangat bererti rasanya. Saling mengisi dan mengerti. Terlalu cantik jalan yang telah Allah pilih buat kami, teman yang setia memberi kekuatan dan tidak lupa murabbi-murabbiyah penuh hikmah dan mahabbah.

Saturday, 30 June 2012

hakikat kehidupan


Hari ini, membantu kenduri warga gombak, walaupun tidaklah close macam teman-temanku yang lain. Banyak benda yang aku belajar hari ini. Tercegat sambil memerhatikan manusia telah menjadi sebahagian daripada hobi aku. Suka aku menilai dan meneliti kehidupan dan mekhluk ciptaan Allah ini.

Antaranya tentang hakikat masa itu sendiri. Pantas sungguh ia berlalu. Melihatkan kakak-kakak dan kenalan aku yang lain, bagai baru semalam kita bermain bersama di sekolah mahupun di kolej. Bagai baru tadi bersembang-sembang tentang hari tua ini, tapi kini, itulah realiti. Kakak yang telah dan bakal melahirkan anak, tak kurang juga hebatnya. Dulu bujang, kini, bersuami, esok lusa bergelar ibu dan bapa. Memikirkan kepantasan ini, aku jadi tunduk dan mengaku, sungguh aku belum bersedia untuk semua saat itu, walaupun, angan-angan aku itu dan ini.

Ya, perkahwinan itu tidak semudah lafaz akad nikah. Tidak sependek tempohnya kenduri. Tidak juga sepertimana nikmatnya pertemuan dan persahabatan. Ada tanggungjawab yang sedang menanti. Ada tugas yang akan diberi. Ada rintangan yang akan dihadapi. Itulah kehidupan yang sepatutnya dijadikan ibadah dan pengabdian. Perhambaan diri seorang makhluk yang diciptakan seindah rupa. Aku rindukan suatu keraian yang meningkatkan Iman dan kemeriahan yang tidak melupakan tujuan penciptaan dan kasih sayang Penciptanya yang Maha Penyayang. Seperti kata-kata yang sering diulang oleh Murabbi Teristimewa:
"you get married to increase your Iman".

اللهم أعنا على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك.

Wednesday, 27 June 2012

syukurlah


Manusia hanya pandai bersyukur dengan hilangnya suatu nikmat. Saat memilikinya bukan saat menghargainya. Saat menanti kehadirannya itu terasa lama hingga pelbagai angan dan impian sempat terbina. Namun, apabila ada sesuatu tidak berkenan di hati, segalanya hilang seri. Lupakah kita kalau kita semua tiada yang sempurna? Lupakah kita kalau hidup ini tiada makna tanpa pasang surutnya? Lupakah kita kalau susunan dan takdir Allah pasti ada hikmahnya?

Belajarlah syukur wahai diri. Hargailah semuanya selagi masih ada. Berusahalah menggunakannya sebaiknya. Bermujahadahlah. Rawatlah. Beristighfarlah.

Saturday, 23 June 2012

Islam dan segala tarbiyahnya


Hari ini, selesai mengambil nasihat dari majlis ilmu bernama MESRA di cheras. Moga penerimaan ilmu dan nasihat itu diiringi tindakan dan amalan, di samping kemesraan yang terbina. Namun, malam tu, masih terngiang-ngiang nasihat emak di pagi hari untuk belajar menerima nasihat atau teguran dengan baik, terutamanya dalam kerja-kerja yang melibatkan banyak pihak. Sememangnya menguji rasa.

Aku manusia ciptaan Allah, aku dicipta daripada tiada kepada ada. Dan aku pasti kembali, walau tak mampu aku menghitung hari, kerana aku benar-benar tidak tahu. Mungkin aku sangka itu saatnya, namun, Allah tahu ia bukan waktunya. Moga Allah menjemputku saat Dia benar-benar meredhaiku. Sukar sungguh meniti hidup ini, namun, kesucian yang tulen itu tuntutan terbesar bagi aku. Cinta sejati juga tidak mudah aku gapai di atas puncak kesungguhan dan konsistensi itu.

Aku makhluk yang telah siap diilhamkan dengan fujur dan taqwa. Sungguh, itulah seorang manusia, dibekalkan dengan sifat yang baik dan jahat.aku menyedari kebaikan-kebaikan itu dan aku mengetahui kejahatan-kejahatan itu. Namun, itulah ketentuan Allah yang perlu diiringi dengan  tarbiyah islamiyah harakiyah. Bukan sekadar mengekalkan kebaikannya, malah meningkatkan dan mengembangkannya. Tidak melupakan kejahatan atau aib yang perlu dikikis dan dirawat sebaiknya.

Aku benar-benar mengimpikan kebahagiaan dunia dan akhirat, kenikmatan dalam setiap perhubungan, kebenaran dalam setiap perasaan. Mungkin itu juga impian setiap insan, tetapi sejarah hidupku yang ‘ternoda’ membuatkan rasa hati itu semakin kuat kerana aku sering bermain dengan tekad-tekad baru untuk memperbaiki sesuatu. Namun, itu semua tidak mampu menguatkan IMAN. Kekurangan diri aku, tetap kekal sebagai kekurangan, yang sangat membutuhkan waktu, waktu dan waktu.

Teman, aku ingin kau tahu bahawa aku sentiasa ingin menjadi sebaik mereka, namun, aku terkadang tetap tersalah dalam memilih cara. Aku akan pasti melukakanmu dalam setiap saat yang akan kita lalu. Maafkan aku teman, sungguh, bukan itu hajat hati kecil ini. Sungguh kemaafan itu akan ku impi selalu, agar mampu membina redhamu walau mungkin sekecil debu. Didiklah aku tanpa jemu. Bimbinglah aku, wahai temanku. Moga Allah sentiasa mengasihimu.

Tuesday, 19 June 2012

pengajaran demi pengajaran


Allah mendidik dan membimbing dengan penuh cinta dan kasih sayang. Sememangnya, aku seorang pelajar dan aku perlu sentiasa belajar. Belajar dan terus belajar agar mampu memdidik hati dan mendekatkan lagi diri ini kepada Allah s.w.t. Selaku kanak-kanak kecil yang sedang berjinak dengan kenderaan, memandu sentiasa menjadi cabaran dan rintangan baru bagi aku. Kadang-kadang, aku akan tersilap, buat silap dan mengulangi kesilapan. Ya, kerana aku seorang manusia. Namun, sebagai seorang yang bergelar manusia, ada perkara yang teramat mudah dimaafkan, ada juga perkara yang teramat sukar untuk diterima manusia walau mungkin itulah takdir Allah buat hamba-hambaNya.

Alhamdulillah, hari ni, masuk hari keempat untuk empat peristiwa yang berbeza. Detik-detik aku melupakan Allah dan aku akan beristighfar untuk detik-detik seterusnya. Semuanya menjadi trauma buat aku, kencang degupan jantung ini apabila mengingatkannya sedangkan tanganku di stereng kereta merah milik abang. Allahu akbar, sukar digambarkan. Namun, aku manusia yang sering lalai dan cuai. Aku juga mudah terburu-buru, tidak tenang untukl berfikir dengan baik. Benarlah hadith riwayat At-Tirmidzi yang bermaksud: “terburu-buru itu dari syaitan dan berhati-hati itu dari Allah”.

PENGAJARAN PERTAMA: 110512 Hari Jumaat itu, aku bergerak keluar dari uia sebelum zuhr untuk menghantar adik tersayang menguruskan pembaharuan ic. Allah izin, tersilap jangan, gamaknya, melalui Jalan Sungai Cincin tanpa dirancang, lantaran, tergopoh-gapah, minyak ditekan melebihi had, Alhamdulillah, Allah menyelamatkan si ibu dan anak kecilnya. Allahu akbar.

PENGAJARAN KEDUA: 190512 Hari Sabtu itu, beberapa minggu sebelum menjelang peperiksaan akhir, petang itu, persiapan majlis makan malam untuk kelas adab arabie perlu dilaksanakan sebaiknya. Allah izin, sebuah kereta dari simpang kiri depan pintu utama Asiah berhenti memberi laluan, agar aku keluar dulu sebelumnya. Namun, mungkin lantaran tergopoh juga, aku memusing stereng ke arah kanan secepatnya, tanpa menyedari kehadiran sebuah motosikal dari arah kiri. Allahu akbar. Kali ni, terjejas sikit kesihatan kereta itu. Bumper depan bahagian kiri sedikit terjatuh. Serba salah aku memikirkan si penunggang foreinger itu. Dia juga tidak kurangnya. Aku minta maaf, tapi dia yang bernama Muhammad juga merasakan dia yang lebih lagi perlu minta maaf. Pertemuan tanpa dirancang itu diakhiri dengan pertukaran no telefon dengan niat untuk memaklumkan sebarang bayaran yang mungkin perlu sebagai ganti rugi. Namun, alhamdulillah, semuanya hanya tinggal pengajaran buat kami berdua, sungguh perlu untuk kita berhati-hati. Kata Muhammad yang berkulit gelap itu; “vehicles don’t matter as long as we are in good health.”  

PENGAJARAN KETIGA: 230512 Petang Rabu itu, emak dan adik merancang untuk makan malam di HAYAKI seperti biasa, jam 5.30. Namun, lantaran sedikit cuai, aku berek mengejut di persimpangan jalan di hadapan Idaman Plaza, dengan harapan tidak mengakibatkan kecacatan pada kereta lain. Alhamdulillah, sempat berek. Tapi Allah izin, kereta belakang aku ikut dekat, cacat rasanya rupa belakang kereta aku di’cium’nya. Namun, apabila diperiksa, hanya kereta uncle Andy sahaja kemek teruk. Allah menentukan sebaik-baik pengajaran dan menyelamatkan aku dari sebarang penyelewengan. Aku kira Allah menghantar abang-abang pencuci kereta di tepi jalan berhampiran dengan simpang Jalan Ibukota Kiri itu untuk menjelaskan hakikat sebenar peraturan jalan raya disebabkan terlalu jelas kelihatan di wajah aku rasa serba salah dan mulutku yang tidak henti meminta maaf. Alhamdulillah. No telefon yang sempat ditukar dengan lelaki dewasa berbangsa cina itu hanya tinggal simpanan. Tiada panggilan masuk, mahupun pesanan ringkas. Kerana peraturannya, yang belakang itu silap, jarak antara kenderaan perlu sentiasa diperhatikan. Walau mungkin ada niatnya untuk meminta sedikit bayaran atas kejadian itu.

PENGAJARAN KEEMPAT: 190612 Hari ini, Selasa, punya sedikit rancangan untuk ke kampus, masukkan duit syiling, tapi setelah lengkap berbaju kurung, aku tiba-tiba terasa malu untuk membawa duit syiling sebanyak itu, tambah pula, sangat berat dibandingkan barang-barang biasa. Namun, ada baiknya pergi uia solah zuhr berjema’ah dan memberi sedikit fokus pada hafalan aku. Duit syiling ditinggalkan pada adik aku lantaran semangatnya untuk mengiranya. Persimpangan berhampiran dengan Puteri Idaman dan Sutera Idaman itu sedikit sibuk, hampir saja mengganggu laluan motosikal milik seorang pakcik tua berbangsa cina, namun, alhamdulillah, motosikalnya dapat dikawal, tidak ber’sentuhan’lah kami. Tapi mukanya yang tenang tu membuatkan aku terfikir banyak, entah apa yang bermain dalam fikirannya pagi itu. Selalunya, setiap kali aku mengganggu laluan motosikal, pelbagai ‘teguran’ yang patut aku terima. Namun, tidak kali ini, pakcik itu tiada respon. Ajaib rasanya. Tanpa disedari, ia jadi muhasabah aku untuk hari itu.

Saturday, 16 June 2012

tidak seperti menekan suis


Sungguh sukar mengubah sikap, menukar tabiat apatah lagi memperbaiki akhlak. Seorang yang dibesar dalam suasana kasar bicaranya, huru hara kata-kata, buruk raut wajahnya masakan mampu menjadi lembut dalam setahun dua. Siapa mengira aku lembut itu silap. Siapa memandang aku tenang juga silap. Apatah lagi yang memandang aku solehah juga teramat silap. Wahai lelaki bakal teman hidupku, terimalah aku kerana Allah, terima aku seadanya aku, dan terima aku sebagai aku. Aku yang sentiasa menangisi kesukaran membuang semua keburukan ini, yang mana inilah terkadang menjadi punca kegagalan dakwahku. Yang terkadang, aku tak mampu maafkan diri aku dan tidak juga mampu meluahkannya agar dimengerti.

Benar luahan hati aku kepada sahabat teristimewa, lembutlah anaknya lantaran lembut bicara, tetapi malanglah anakku lantaran ibumu yang tidak kenal semua itu. Bukan aku menyumpah si kecil yang belum pasti milikku, namun, itulah yang menghantui aku setiap kali tegang suasananya, mencuka setiap muka, perit ditelan manusia. Ramai teman-teman menyedarinya, terluka dan terus tercedera. Sakit dan pedih yang sukar sembuh sekali rawatan. Namun, itulah diri-diri hasil biah itu. Jiwa-jiwa kasar kelahiran didikan itu. Juga lidah-lidah manusia sebegitu. Moga Allah beri kekuatan kepada hati-hati ini dan memaafkan kekurangan jiwa-jiwa ini. T_T

Friday, 15 June 2012

hebatnya Allah..


Beberapa bulan yang lalu, aku, emak dan ayah berjalan ke Jalan TAR. Dengan hasrat untuk membeli buku-buku dengan menggunakan baucer student anugerah Allah..  banyak sungguh karya tulisan manusia yang tak mampu dikira.. Alhamdulillah, perjalanan itu diiringi dengan jalan-jalan kami di kedai kain.. tiba-tiba ayah menyuarakan hasratnya dengan memilih sehelai kain untuk aku.. alhamdulillah, sedikit terharu dengan pemberian itu..

Namun, Allah mentakdirkan bahawa di saat emak ingin membawa kain tersebut kepada penjahit, seakan ada suatu pemilihan baru untuk kain yang dibeli.. saat tu, hanya Allah sahaja tahu betapa aku inginkan kain pemberian ayah itu.. namun, aku bukan manusia yang pandai menyuarakan hasrat hati.. banyak sungguh aku pendamkan.. hingga hal ini disedari oleh setiap ahli keluargaku.. bagi aku, biarlah Sebaik-baik Sandaran menjadi sandaran aku selamanya.. maka seperti tahun-tahun lepas, aku biarkan adik memilih hajat hatinya.. sememangnya, kain pemberian ayah itu menjadi pilihannya.. aku redha kalau itu ketentuan Allah.. hanya Allah tahu yang terbaik..

Malam ni, Allah mentakdirkan apa yang ingin Dia takdirkan.. kain yang telah teliti dirancang itu, hanya tinggal rancangan.. potongan penjahit merujuk kepada saiz aku.. sudah selesai semuanya, hanya menunggu untuk dijahit.. potongan yang kecil, tiada yang sesuai dengannya melainkan aku.. subhanallah.. bukankah hanya Allah pemelihara segalanya.. memakbulkan hajat-hajat hambaNya.. mendengar setiap rintihan hati dan keinginan-keinginannya.. Alhamdulillah, hanya itu sebaik-baik bicara atas nikmat pemberian Allah.. Allah menulis namaku di atas kain itu.. sedarlah aku bahawa bisikan hati ini, walau tiada siapa menyedarinya, namun, Allah tahu dan maha tahu.. sungguh memahami dan sentiasa memahami..

Page FB Ustadh Nouman Ali Khan
“no amount of guilt can change the past
and no amount of worring can change the future
go easy on yourself for outcome of all affairs
is determined by Allah’s decree..
if something is meant to go elsewhere
it will never come on you way
but if it is yours by destiny,
from you, it cannot flee..”

Tuesday, 12 June 2012

perjalanan yang penuh pengajaran


Alhamdulillah, dua hari lalu di Rimbaria Suara Hutan dan setengah hari ini di Tv Al-Hijrah. Terlalu banyak ilmu dan pengalaman baharu yang diperolehi. Perbincangan menarik bersama Murabbi Teristimewa, Abah Rushdi Baharom. Perjalanan di dalam hutan yang sudah agak lama ditinggalkan, juga penyembelihan ayam. Berkenalan dengan Tv Al-Hijrah dengan lebih dekat. Alhamdulillah, moga Allah berkati perjalanan ini.

Petang tadi, membantu teman-teman sefikrahku pulang, aku menghayati setiap saat dalam perjalanan pulang ke rumah. Teringat aku kanak-kanak kecil di dalam kenderaan di hadapan, tersenyum simpul si kecil bersama adik lelakinya apabila aku lontarkan senyuman penuh paksaan, lantaran mengingatkan Baginda yang terlalu cintakan kanak-kanak. Ini rasa menghayati kecintaan Baginda yang mulia. Sememanganya memaksa diri untuk rahmat dan redha Allah itu bukan suatu perkara yang mudah, apatah lagi apabila segalanya itu ingin kita pandang sebagai sumber untuk merebut pahala Allah s.w.t. Namun, ia pasti dihadiahi kenikmatan terindah di hati kita.

Perjalanan pulang itu diiringi dengan pemandangan penuh pengajaran. Melihatkan makcik si pembantu rumah menjaga anak kecil yang bermain dengan ‘kuda’nya hingga ke jalan raya mengingatkan aku pada Abdullah Mujahid Ruqaimi Rabbani. Sungguh aku tak mampu tipu, aku diserang rindu. Gurau senda bersama Haura’ Al-Maqsuroh Farhan Hadi di atas bas semalam juga mengimbau kenangan manis bersama Mujahid. Subhanallah, ajaib Allah cipta perasaan begini. Teringat juga layanan Rasulullah buat khadamnya.

Tidak aku lupa, seorang pemuda di atas kerusi roda yang ditolak oleh seorang wanita, mungkin ahli keluarganya. Keluar bersiar-siar di tepi jalan. Sungguh menyentuh perasaan. Boleh jadi suatu ketika dahulu dia seperti aku, sesegar aku, dan seaktif aku. Namun, Allah jua lah Yang Maha Mengetahui. Itulah sunnah kehidupan ini. Insah teristimewa di dunia ini pernah mengingatkan kita dalam sabdanya yang membawa maksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama: masa sihat sebelum sakit. Kedua: masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga: masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat: masa mudamu sebelum datang masa tuamu dan kelima: masa hidup sebelum tiba masa mati.”

Perjalananku yang diselang-selikan dengan kecuaian aku dalam pemanduan dan kebaikan pemandu-pemandu lain dalam bertolak ansur membuatkan aku terasa bersyukur, malah aku terfikir, apakah penyebab belas kasihan Allah terhadap aku? Sungguh, serba salah rasanya. Namun, akan  aku doakan kebaikan buat kalian. Semua itu membuatkan aku kembali meneliti sikap dan syakhsiyah aku dalam pemanduan. Bukankah pahala mereka yang beradab itu lebih tinggi daripada mereka yang kurang adabnya? Seperti mana yang disebut oleh Ukhti Fatimah Syarha baru-baru ini. Allahu akbar, aku perlu belajar untuk itu.

Berita kesihatan datukku di sebelah ayahku yang terpaksa dimasukkan ke hospital malam itu sedikit mengejutkan. Serangan jantung katanya. Aku seakan mempersiapkan hati untuk kehilangan orang tersayang, sungguh, ia teramat perit, walaupun aku bukan seorang cucu yang rapat dengannya. Namun, apakah Allah sedang mengingatkan aku erti ‘lima sebelum lima’?

Tuesday, 8 May 2012

kematian


Mencari fakta tentang had umur atau umur terbaik untuk mengahafal Al-Quran. "Setelah 20 tahun, sangat sulit untuk menghafal. Lebih dari 23 tahun, kemampuan itu berakhir, jadi semakin muda memulainya, itu lebih baik." Perkataan itu membuatkan aku sedar betapa singkatnya hidup sebagai seorang manusia. Kalau masih ada masa yang berbaki, tanggungjawab sebagai isteri, menantu, ibu, mertua dan nenek itu akan aku galas. 


Bukankah masa ini terlalu singkat hingga kalau dipejam mata ini, seakan esok menjadi hari tuaku dan hari terakhir dalam hidupku. Namun, entah bekal apa yang telah aku sediakan. Entah amal apa yang akan aku bawa pulang. Entah apa nilainya di sisi Dia Sang Pencipta. Sedangkan ikhlas aku masih punya segala yang kurang. Hati aku masih punya segala rasa, yang sepatutnya sudah tertarbiyah lantaran proses yang terlalu lama. Bukankah aku perlu menjadi lebih baik setiap hari, kerana hidup ini akan berakhir dengan suatu yang dinamakan MATI, yang aku tak pasti bila, di mana dan bagaimana akan aku dipanggil kembali.

Mendengarkan berita kematian seorang junior yang sebaya dengan adik aku, aku semakin terasa dan aku tertanya-tanya, entah bila giliran aku. Hari-hari ini masih mampu aku lalui sebaiknya, tentu saja hanya dengan izinNya. Namun, aku tidak pernah tahu, apakah masih ada semuanya itu pada keesokannya. Masihkah mampu aku melihat terbitnya matahari dan cantiknya awal di pagi hari. Masihkah mampu aku perbaiki hubungan aku dengan Rabbku Ya Ilahi.  Masihkah mampu aku meniti hari ini dengan usaha tarbiyah dan dakwahku?

Friday, 27 April 2012

hati ini kesedihan



Garang. Satu perkara yang agak sinonim dengan diri ni. Setiap yang aku buat sengaja atau tidak, itulah hasilnya. Jenaka aku terkadang bertukar menjadi sedih. Wajah ceria berganti dengan muram. Sungguh aku tidak pinta ia jadi darah dagingku yang aku kira paling sukar di abad ini. Aku tidak inginkan semua itu. Takkan aku ingin melukakanmu. Tidak aku ingin membuatkan setiap diri itu terluka.

Maafkan aku teman. Tiada pernah maksud ku begitu. Kalau aku mampu, tidak ingin aku berkawan. Tidak pernah aku ingin membina harapan. Tidak juga berbicara denganmu, teman. Aku manusia paling tidak pandai menjaga hati manusia. Tidak tahu menggunakan lidah sebaiknya. Aku tidak juga menghargai manusia dan segala fakulti keinsanannya. Inilah aku yang dilahirkan tidak sempurna. Usahlah kau anggap aku sesempurna manusia, sungguh, aku tidak seindah yang kau sangka.

Monday, 16 April 2012

hanya angan-angan?


Berkata Imam Hasan Al-Basri: Iman itu bukanlah sekadar angan-angan dan bukan pula sekadar basa-basi dengan ucapan, akan tetapi sesuatu keyakinan yang terpatri dalam hati dan dibuktikan dengan amal perbuatan. Mungkin ada yang meyakininya, namun tidak mampu membuktikannya. Namun, keyakinan yang benar pasti menghasilkan amal. Tiada iman yang mampu duduk diam mahupun kekal pada tabiat lamanya. Dia pasti tertolak untuk melakukan untuk melakukan segalanya bersesuaian dengan kehendak Allah, kerana bejana iman ialah raja yang bernama hati. Masakan rakyat yang terdiri daripada pelbagai anggota badan ini mampu mengingkarinya.

Walau bagaimana pun, hati ini terlalu cepat berbolak balik, seperti keadaan air yang kita mampu lihat apabila ia mendidih. Begitulah iman yang ada turun naiknya. Hati yang ada perubahannya, samada ke arah kebaikan mahupun keburukan. Namun, hati ini perlukan rawatan yang berterusan. Iman pula memerlukan didikan yang berpanjangan. Tiada hentinya hinggalah roh meninggalkan jasadnya. Tiada jaminan kalau benar keredhaan Allah itu milik kita. Masakan kita mampu tahu sedangkan telah lama terhenti komunikasi antara langit dan bumi saat terhembusnya nafas Rasul kita yang terakhir.

Rasulullah, mampu kita rasakan keistimewaannya, hingga terkadang, apabila namanya kedengaran mahupun kisahnya diulang tayang, hati terasa sayu, jiwa menjadi sebak, mata kian berair. Siapa yang mampu menahan rindu ummat terhadap pemimpinnya yang terlebih dahulu menninggalkannya, namun telah berkorban untuknya, mengajarkan setiap perkara buat panduan hidupnya agar mampu menggapai kebahagiaan dunia akhirat. Pastilah pertemuan dan pertembungan mata di antaranya dan Insan Teragung itu sangat diidam-idamkan. Mimpi, angan-angan dan bayangan sahaja yang mampu menemaninya. Jika tiada usahanya untuk menjadi soleh yang mampu melayakkannya bertemu dengan Baginda di Syurga, masakan dia mampu bertemu dengannya walau sesaat yang diimpi-impikan?

Friday, 13 April 2012

bukan salah suasana

Beberapa hari ini, terasa masa terlalu laju berlau, terlalu cepat untuk aku kejar. Belum sempat berbuat apa-apa untuk hari yang baru tiba, aku telah mendapati hari baru. Bagaimana mungkin aku mampu meneliti semuanya dengan penuh iman dan taqwa? Sungguh aku tidak pasti nilaian Allah atas semua hari-hari yang aku lalui ini.

Tiga minggu yang aku perlu lalui setelah tamat cuti mid-term ini sangat menyesakkan hati. Tidak dapat aku pastikan bahawa akan aku ambil pengajaran atas kesilapan aku mensia-siakan waktu lapang yang telah berlalu. Namun, aku menyesal dengan penyesalan yang pernah aku rasakan suatu ketika dahulu. Entah apa jenis hati aku ini. Sungguh tidak pandai menilai dan mengubah tabiat buruk. MUJAHADAH sememangnya perlu dan itulah perkara paling sukar dan paling mahal dalam hidup.

Sehinggakan melatih diri berkata-kata dalam bahasa arab juga memerlukan mujahadah. Bak kata Ust Habibullah: AZAM. Semua ini masalah diri kita, bukannya suasana. Jika kita ingin, pasti akan kita usahakan, walau kesukaran menghiasi perjalanan. Namun, dengan keyakinan dan matlamat yang jelas, pasti segalanya terasa kecil kerana Allah bersama kita, sentiasa bersama kita.

Beberapa hari ini perlu aku penuhkan dan gunakan sebaiknya, masa yang berbaki untuk semua submittion dan test semakin singkat. Namun, apabila perlu melibatkan foreigner, aku perlu usaha cara lain. Cuba contact dan cuba jumpa. Kesukaran sangat dirasakan saat-saat tiada petanda baik yang kelihatan. Allahu akbar, sesak dada. Akhirnya, Allah juga perlu kita bersandar dan berharap kepadaNya.

Telah ditulis di page facebook Ustadh Nouman Ali Khan: "When you're going through something hard and you start wondering where Allah is. Just remember the Teacher is always quiet during a test."

Sungguh indah dan unik seni didikan Allah buat setiap hambaNya. Sesuai dengan diri dan kemampuan. Walaupun sukar atau sedih, pasti nanti kita tetap akan bersyukur kepadaNya atas setiap ketentuanNya. Mana mungkin takdir pilihan Allah itu adalah untuk menyeksa kita mahupun menzalimi diri kita. Kerana Allah tahu yang terbaik dan sentiasa memahami dan menyantuni segala sesuatu.

Friday, 6 April 2012

lemahnya manusia

Setiap rancangan kita, takkan mungkin tercapai tanpa izin dan bantuan Allah s.w.t. walau mungkin diusahakan sebaiknya atau dipertahankan semampunya, namun, apabila Allah mentakdirkan penghalang buatnya, maka, tiada yang mampu melawannya. Allah akan sentiasa tentukan yang terbaik, Cuma kita sahaja yang perlu belajar menerimanya dengan iman. Jika tidak, semuanya kelihatan silap dan rosak. Padahal, Allah pasti menggantikannya dengan sebaik-baik takdir, walau mungkin terasa kurang baik di sisi kita.

Semalam nak jumpa Ust Habibullah, tapi tak kesampaian. Rancangan hanya tinggal angan-angan. Allah izin, asar hari itulah menjadi pilihan Deputy Dean untuk memanggilnya. Ditambah pula dengan hujan yang teramat lebat. Sangatlah menggerunkan setiap hati yang dimiliki manusia. Ya, saat begitu, tiada siapa yang mampu menjamin keselamatannya, dengan dentuman guruh dan kilat yang sabung menyabung. Allahu akbar. Hanya istighfar yang meniti di bibir. Merata aku memandu, tak tahu di mana untuk berteduh. Saat itu, aku teringat warga matri yang meninggal dihempap pokok ketika hujan lebat. Sungguh, manusia itu lemah dan ajal yang datang takkan mampu dihalau pergi.

Petang ini pula, teman-teman mahu ke kenduri aqiqah si kecil yang baru sahaja dilahirkan. Perancangan seakan baik nampaknya. Namun, jangkaan bahawa jalan akan menjadi sangat sesak membuatkan kami fikir banyak. Mak juga tak berapa nak izinkan. Ingin digagahkan juga, tapi tiada siapa yang mampu bertahan kalau kesesakannya hingga 2-3 jam. Walau bagaimana pun, panggilan kepada kakak senior aku membuatkan aku tahu bahawa mereka sememangnya nekad dan berhajat. Mereka tetap pergi ke sana walau aku tak tahu apa entah usaha mereka. Mungkin kerana ibu muda itu kawan lama, sekampung pula tu.

Apa-apa pun, Allah tahu yang terbaik. Rancanglah bagaimana sekali pun, perlulah diserahkan semuanya kepada takdir dan ketentuan yang semestinya terbaik di sisi Allah s.w.t. Allah sentiasa rancang yang terbaik, yang mana akhirnya, kita pasti merasai kebaikannya dan bersyukur atas ketentuannya itu, walau mungkin bermula dengan rasa kurang senang di hati kecil kita ini. Kerana Allah sendiri ada berfirman dalam Surah Ali Imran, ayat 45 yang bermaksud:

“Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itu pun merancang tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.”

Wednesday, 4 April 2012

hanya dengan keizinanNya

Beberapa hari ini, banyak hal yang tidak berlaku seperti biasa. Terlalu banyak. Atau mungkin sedikit, tapi aku yang terlalu memikirkannya. Tidak kurang juga yang aku pinta dan pinta, namun, cuma tinggal rancangan dan angan-angan. Ya, aku berhajat begini dan begitu, aku rancang begini dan begitu, tapi Allah sahaja yang mampu menyebabkannya terrealisasi, walau mungkin aku usaha dan berdoa sepenuh hati. Tidak lain melainkan kerana Allah Maha Mengetahui. Diketahui segalanya, dulu, kini, dan akan datang, baik buruknya, tersembunyi mahupun terzahir.

Setiap ketentuanNya, ada tarbiyah dan tazkirah penuh hikmah. Tidaklah dibalas atau diseksa melainkan setelah diperingat berkali-kali, Cuma manusia sahaja yang tidak menyedari dan mempelajarinya. Bukan Allah sengaja menentukannya, melainkan ada kebaikan dan rahmat kasih sayangNya. Allah tahu bahawa itulah yang mematangkan. Itulah yang membuatkan kita kembali muhasabah. Mungkin itulah sebaik cara yang membawa kita kepada tafakkur yang panjang. Allah sentiasa tahu. Allah sangat memahami. Masakan Dia tidak memahami sedangkan Dia yang menciptakan dan mengatur segala.

Beberapa hari atau minggu ini, sukar juga mendapat ubat hati, dua rakaat sebelum berkumandangnya azan subuh. Setiap hari, jam dikunci. Setiap hari punya azam dan harapan. Namun, segalanya, masih berlalu seperti biasa. Sedar aku ketika azan subuh. Allahu akbar. Terasa banyak silap dan dosa. Seharian aku bermuhasabah. Aku cuba jaga setiap yang dinginkanNya. Aku perhatikan setiap yang akan aku buat, sedang, mahupun yang baru saja berlalu. Istighfar aku lazimkan sehari itu. Malam itu, sungguh teruji dengan handphone aku atau locengku lantaran kehabisan bateri. Aku doa dan yakin. Allah pasti bantu jika benar itulah yang ingin diperkenankanNya. Alhamdulillah, tepat jam 5.00 pagi, aku terjaga.

Sungguh, kalau itulah yang disusunnya, pasti tidak akan termampu, walau hanya mengangkat mata atau berfikir dengan baik di pagi hari sebegitu. Namun, muhasabah itu membuatkan aku lebih berhati-hati berbanding kebiasaannya. Memerhati kebiasaan yang mungkin mengundang kemurkaan Allah s.w.t. Moga dengan belas kasihanNya Allah sentiasa sudi untuk membimbing aku menuju redhaNya dan memaafkan segala kekurangan diri ini.

Sunday, 1 April 2012

ujian, ujian dan ujian

Ujian sememangnya warna-warni kehidupan. Tiada erti hidup ini tanpa ujian. Begitu juga dalam menuntut ilmu, tidak kira sama ada secara rasmi atau tidak. Pastinya ilmu itu perlu diuji sama ada secara langsung atau tidak, untuk mengetahui tahap pengamatan dan penghayatan ilmu seseorang itu. Namun, ujian Allah kepada setiap hambaNya itu penuh hikmah dan pengajaran. Setiap itu hanya untuk kebaikan kita. Tidak mungkin Allah mengurniakan sesuatu untuk menzalimi hambaNya. Pasti ada sebabnya.

Seharian di Pengkalan Chepa semalam membuatkan aku berfikir dan sering berfikir tentang suatu yang dinamakan ujian. Seorang junior ku agak baru mendapatkan handphone nya, tetapi Allah mentakdirkan bahawa handphone itu terjatuh dalam tandas. Tiada apa yang mampu dibuat. Sedihnya tidak mampu menitiskan air mata. Namun, Allah pasti ada rancangan dan ketentuan yang terbaik buatnya. Hanya usapan dan doa sahaja yang mampu aku titipkan.

Selang beberapa jam, datang pula seorang junior yang lain menceritakan bahawa dia telah menjatuhkan DSLR milik ayah kepada seorang kawannya. Pecah seribu lense tersebut. Kejadian yang tak disangka kerana bantuan yang diminta oleh kawannya untuk mengambil buku dari dalam beg camera tersebut. Diangkatnya beg itu sedangkan ia tidak tertutup dengan baik. Kini, tahulah dia mengapa abangnya selalu melarang supaya tidak meletakkan apa-apa barang yang lain di dalam beg camera. Tapi, entah bagaimana untuk diganti barang yang harganya sekitar RM350-RM3500.

Disapa dengan seorang hamba Allah di suatu persimpangan jalan itu membuatkan aku teringat kembali ujian bernama ‘fitnah’ yang pernah menyapa hidup aku beberapa bulan yang lalu. Aku kira itu ‘fitnah’ pertama buat aku, walaupun ada yang berpendapat bahawa aku tidak sesuai dengan ‘fitnah’ sebegitu, atau mungkin bukan aku untuk ujian seperti itu. Namun, Allah lebih mengetahui. Allah tahu bahawa itulah yang terbaik dan paling sesuai untukku. Sungguh, ujian ini menguji rasa, mengajar aku berbaik sangka dan membuatkan aku belajar erti ukhwah yang sebenar.

Ujian ini, tak pernah aku terfikir tentangnya. Tak pernah aku jangka. Apatah lagi apabila melibatkan kenalan yang aku kenal sejak kecil, juga kenalan yang sangat dekat di hati ini. Entah mengapa ingin diuji semua ini. Khabar-khabar angin yang berbaur gosip seakan menjadi sebuah kisah ‘nur kasih’ versi baru. Aku berbalas msg dengan si dia? Tidak sekali aku msg melainkan untuk bertanya tentang status keluarganya yang tidak dapat sku hubungi. Hanya seringkas itu. Itu menghantar msg namanya, bukan berbalas msg seperti yang dikatakannya. Aku demam dan ditemani si dia ke klinik? Sungguh lama rasanya aku tak demam. Rapat aku dengan adiknya untuk si dia? Bagaimana mungkin sedangkan dia telah disusun untuk selainku?

Allahu akbar. Perlu aku lupakannya agar mampu meniti hari-hari baru dengan sebaiknya, walau hati ini seakan terhiris dan pedih. Perlu aku menyantuni mereka seperti biasa atas kerja-kerja yang ada, juga sebagai kenalan sejak kecil lagi, walau hati ini seakan ingin lari dari mereka. Perlu juga mendoakan kebaikan mereka, walau hati terasa sedih atas segala yang berlaku. Sungguh aku ingin Allah menetapkan teman hidup buat semuanya sesegera mungkin. Kerana harapan aku cuma satu, agar mampu meredakan semua, menenangkan hati mereka dan menghentikan segala tekaan dan cerita.

Ya Allah, ampunkan aku atas rasa hati yang tidak soleh dan tentukanlah yang terbaik buat aku, dia dan mereka.

Thursday, 29 March 2012

hanya Allah mampu

Suatu pengajaran yang aku belajar dalam beberapa hari ini ialah lemahnya manusia dan berkuasanya Allah. Sungguh, tiada yang mampu mengubahnya apabila Allah menghendaki semua itu. Walau mungkin kita berusaha atau manusia di sekeliling kita ingin menghulurkan bantuan, namun, tiada perubahan yang mampu dibuat, walaupun sedikit. Dengan takut dan harap, manusia pasti akan kembali kepada Allah s.w.t. yang menguasai segalanya, kerana hanya itu jalannya.

Saat hati terasa dihiris kesedihan yang teramat sangat, luahan hati hanya sebahagian kecil usaha yang mampu dibuat, tapi hanya Allah yang mampu mengangkat keresahan itu. Apabila ada kejadian yang akan berlaku, mungkin kita berusaha mengubah atau mengelak daripadanya, namun, hanya Allah yang mampu mengubah segala takdirnya. Jika telah tiba ajalnya, kesakitannya atau ujian hidupnya, tiada yang berkuasa mengubahnya atau mengahalanginya daripada berlaku. Sungguh, hanya Allah yang mampu, dan semua itu sudah termaktub sejak ditiupkan roh ke dalam jasad kita, seperti dalam hadits yang membawa maksud:

“Dari Abu Abdurrahman Abdullah bin Mas’ud radiallahuanhu beliau berkata : Rasulullah menyampaikan kepada kami dan beliau adalah orang yang benar dan dibenarkan : Sesungguhnya setiap kalian dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya sebagai setetes mani selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi setetes darah selama empat puluh hari, kemudian menjadi segumpal daging selama empat puluh hari. Kemudian diutus kepadanya seorang malaikat lalu ditiupkan padanya ruh dan dia diperintahkan untuk menetapkan empat perkara : menetapkan rizkinya, ajalnya, amalnya dan kecelakaan atau kebahagiaannya. Demi Allah yang tidak ada ilah selain-Nya, sesungguhnya diantara kalian ada yang melakukan perbuatan ahli syurga hingga jarak antara dirinya dan syurga tinggal sehasta akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli neraka maka masuklah dia ke dalam neraka. sesungguhnya diantara kalian ada yang melakukan perbuatan ahli neraka hingga jarak antara dirinya dan neraka tinggal sehasta akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli syurga maka masuklah dia ke dalam syurga.” (HR Bukhori & Muslim)

Namun, ada juga manusia yang terasa dialah yang terbaik, dia sahaja yang berkuasa, hanya dia yang layak untuk semua itu. Malah kadang-kadang, hal itu tiada keuntungan buatnya, mungkin hanya pujian atau rasa kagum manusia. Bak kata Ust Nouman, apabila kita ada penyakit itu, sungguh, kita dalam bahaya, kita punya penyakit yang sangat merbahaya. Walau hanya memandang rendah pada manusia selainnya. Penyakit ini, hanya kita yang tahu, hanya kita yang menyedarinya dan hanya kita jualah yang mampu berusaha mengubatinya.

Teramat mudah untuk hati ini berkata-kata sedemikian. Namun, perlulah diusahakan agar penyakit ini dapat diubati dengan zikrullah dan berteman dengan sahabat yang soleh. Agar kita sentiasa menyedari keterbatasan kemampuan kita dan hakikat diri yang sangat memerlukan didikan dan bimbingan. Hal ini disebabkan, betapa besarnya hajat dan keperluan kita terhadap rahmat dan syurga Allah s.w.t. Satu hadits Rasulullah s.a.w. membawa maksud:

“Dari Abdullah bin Mas’ud r.a., Nabi s.a.w. bersabda: Tidak masuk Syurga orang yang terdapat di hatinya walau sebesar zarah perasaan takabbur.” (HR Muslim)

Ya Allah, kami berlindung kepadaMu daripada mensyirikkanMu dengan sesuatu yang kami ketahui dan kami mohon keampunan atas sesuatu yang kami tidak ketahui.

Wednesday, 28 March 2012

hidup ini singkat

Sungguh, hidup ini terlalu sementara. Jika difikirkan kembali sesuatu yang telah berlaku, pasti segalanya terasa bagai baru semalam kita melaluinya. Bagai baru semalam kita menempuh hari-hari itu. Sememangnya hidup ini terlalu singkat. Jika dibandingkan umur kita dengan panjangnya umur dunia ini, sungguh kecil peratusannya. Apatah lagi Akhirat yang selama-lamanya,

Murabbi tercinta pernah bercerita yang dia pernah bertanya kepada pelajarnya:

“Akhirat itu berapa lama?”

“selama-lamanya.”

“selama-lamanya tu, berapa lama?”

“selama-lamanya.”

Sungguh selamaya-lamanya yang kita tak mampu gambarkan.

Hidup yang singkat ini telah dijanjikan bahawa akan diakhiri dengan kematian. Kematian yang tidak akan diketahui tarikhnya. Namun, tidak ramai manusia yang benar-benar merasainya dan memanfaatkannya. Hidup yang tidak diketahui tarikh luputnya sepatutnya diperhatikan sentiasa bahawa dirinya perlu dipersiapkan. Tapi hanya sedikit yang berusaha. Kebanyakannya menempu sesuka hati. Berhibur tanpa batasnya. Seakan hidup yang sementara ini adalah hanya untuk diperlakukan sesedap rasa.

Begitu juga dalam menguruskan kehidupan kita sehari-hari. Tugasan yang diberi dua bulan yang lalu hanya dibuat pada dua minggu yang terakhir. Ulangkaji hanya akan dibuat apabila menyedari bahawa ujian tersebut akan diadakan beberapa hari lagi. Kesihatan hanya akan dijaga apabila sudah mengetahui kewujudan penyakit yang dihidapi. Sungguh, manusia sering lalai dari mengambil pengajaran dari hadits Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara; sihat sebelum sakit; muda sebelum tua; kaya sebelum miskin; lapang sebelum sempit; hidup sebelum mati”

Ya Allah, bantulah kami dalam mujahadah ini. Sungguh, tiada daya dan upaya melainkan dengan izinMu.

Monday, 26 March 2012

nasib yang sama

Dua hari di Dengkil banyak menyentuh hati ini. Aku jadi bermuhasabah sendirian. Syukur aku. Kesungguhan aku. Ketaatan aku. Diri aku. Iman aku. Hati aku. Sungguh banyak untuk aku senaraikan. Moga yang terpukul itu iman aku. Kehangatan iman yang mampu bertahan lama selama mana baiknya keadaan iman itu. Iman yang membuatkan aku tidak mampu duduk diam kerana terlalu banyak tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Bicara Ustaz Dzikrullah masih jelas kedengaran di telingaku bahawa nasib kita dan nasib Rasulullah s.a.w. adalah sama. Hampir menitis air mata aku. Aku jadi sebak. Aku termenung sendiri. Aku dan Baginda yang mulia itu lahir ketika mana Masjid Al-Aqsa dijajah. Saat Masijd itu dalam genggaman musuh-musuh Allah. Benarlah kalau Masjidil Haram dan Masjid Nabawi diganggu ketenteramannya, pasti heboh seluruh dunia. Namun, mengapa dengan Masjid ini? Bukankah ia juga Masijd yang dimuliakan Allah?

Tidak kurang juga keadaan hidup saudara seaqidah kita di seluruh dunia. Penindasan dan kezaliman mengiringi setiap langkahan mereka sehari-hari. Tiada keamanan yang dirasai. Setiap pergerakan diperhati. Berita kematian menghiasi hidup mereka. Mereka seakan menanti giliran seterusnya. Namun, berjiwa kental dan punya keimanan luar biasa. Bagaimana mungkin manusia yang telah diseksa dan sedang diseksa sebegitu rupa masih mampu menghulurkan bantuan buat saudara muslim di negera lain yang ditimpa bencana alam? Sungguh, ia membuatkan aku berfikir sendiri. Jiwa apakah itu?

Thursday, 22 March 2012

semua kenangan itu

Entah kenapa kenangan zaman sekolah tiba-tiba menjengah. Mungkin teringatkan msg luahan hati seorang veteran yang aku kasihi. “…sayang anak…” Msg itu tidak mampu aku balas. Aku jadi kelu. Sungguh, ucapan aku untuk dia melebihi itu. Entah kenapa dia menjadi sebegitu istimewa. Dirinya yang bersahaja selalu buat aku tenang. Sikapnya sebagai bapa buat aku semakin senang. Guraunya penuh hikmah. Soalnya penuh ramah. Pernah dia melabel aku anak angkatnya, walau tak pernah disebutnya di depan aku, setakat ingatan aku. Ingin aku jerit ‘kau juga ayahku’.

Sungguh, saat bersamanya menjadi kenangan terindah aku di sekolah itu. Apabila perlu aku memilih peribadi teristimewa dalam kalangan warga sekolah itu, pasti nama dia akan aku senarai. Kasih sayang isterinya yang lemah lembut juga sering buat aku ingin duduk lama bersamanya. Syuyukh ini sungguh istimewa buat aku. Jika aku ingin bertanya khabar sekolah, pasti nama mereka akan aku sebut juga. Cuma kalau nanti ‘saat pulang’ mereka tiba, pasti aku jadi kaku, tangis aku untuk kamu, dan akan ligat aku mencari tempat luahan aku. Sungguh, belum pasti ada penggantimu, walaupun kamu hanya kerani sekolah itu. Akan aku kirimkan doa buatmu.

Zaman kecilku di sekolah rendah juga menjengah beberapa hari ini. Pertanyaan berkaitan dengan baju kenangan kelas itu selalu membuat aku termenung seketika. Sungguh, aku rindu. Saat-saat itu masih segar dalam ingatanku. Melihat kamu membesar dan melalui fasa-fasa hidup ini sering buat aku tersenyum. Bersama-sama belajar mengerti hakikat hidup ini membuatkan aku terasa kenikmatannya. Mungkin ini juga nikmat membesar dalam biah ini, biah solehah. Sedih dan sakit kamu membuatkan aku turut keresahan, walau terkadang, aku juga keliru, mengapa semua itu aku rasai. Kesilapan kamu dan penyesalan itu juga membuatkan aku termenung, aku turut merasainya dan aku iringi kamu dengan doaku.

Semua kenangan itu aku terasa keunikannya. Mendengar namamu membuatkan aku terasa dekat, seakan saudara rapat. Mendengar cerita tentang kamu pasti membuat aku fokus. Sungguh, kalian juga sebahagian hidupku. Pertemuan yang kadang-kadang tidak disengajakan itu juga membuatkan aku sentiasa rindu semua itu. Bukan hanya rindukan ‘sakat-menyakat’ itu, namun, sungguh, zaman itu istimewa. Zaman yang semestinya sangat berbeza dengan hari-hari ini. Namun, kenangan bersama kalian tidak mampu ganti baru. Akan aku sematnya di hatiku, juga kiriman doa buat setiap kamu.

Ya Allah, yang membolak-balikkan hati kami, tetapkanlah hati-hati ini dalam deen-Mu dan ketaatan padaMu. Bantulah kami untuk mengingatMu, mensyukuriMu dan juga untuk sebaik-baik ibadah kepadaMu.

Wednesday, 21 March 2012

takdirNya

Beberapa hari ini, terasa banyak sungguh diselang-selikan dengan suatu pengajaran yang bernama TAKDIR. Banyak hal yang berlaku hanya di sekitar tajuk itu, sama ada pengamatan aku sendiri atau mungkin temanku yang lain.

Aku teruji dengan ujian yang akan dirasakan unik oleh semua yang mendengar, iaitu pertemuan dengan ajnabi yang tidak dikenali, bukan pernah berurusan atau sekelas dan semestinya tidak pernah disengajakan, tapi kekerapannya hanya Allah yang tahu. Susah hati ini. Aku cuma terasa betapa uniknya ujian itu, namun, entah apa yang ingin Allah ceritakan. Ligat otak ku mencari jawapan, mengapa mesti aku lihat dia setiap hari, hampir setiap hari. Malah kadang-kadang bukan sekali sehari.

Alhamdulillah, pertemuan dengan teman sefikrah sentiasa istimewa. Mungkin ada hikmah baru yang dipelajari. Apabila kesedihan diluahkan, pasti nasihat yang akan aku dapati. Namun, pertemuan dengan seorang junior ku di tepi masjid membuatkan aku semakin ligat mencari jawapan. Hanya istighfar aku ucapkan atas kekeliruan yang teramat sangat. Satu yang terlintas ketika itu hanya menjaga pandangan. Mungkin benar Allah ingin mengajar aku erti ‘menjaga pandangan’. Jika ia ditundukkan, pasti tidak aku resah lantaran tidak menyedari kehadirannya walau hanya di sebelah meja.

Junior sekolah yang baru mendapatkan keputusan SPM semalam juga membangkitkan hal yang sama. Hatinya terasa sesak dengan keadaan hatinya yang sedikit sukar menerima keputusannya itu walaupun disyukurinya. Aku mulakan bicara bahawa sesungguhnya cakap lebih mudah dari buat. Sungguh, semua nasihat itu untuk aku sebenarnya. Untuk hati aku. Terlalu banyak berbicara. Di sana sini nasihat diminta dan diberi. Tapi hati ini, hanya Allah yang tahu.

Ya Allah, bantulah aku dalam mujahadah ini. Berilah aku kekuatan untuk mempersiapkan hati ini menghadapMu.

Tuesday, 20 March 2012

bersiaplah untuk Allah

Hari ini, alhamdulillah, diizinkan Allah datang awal ke tempat aku belajar, jalan agak lenggang, parking kereta juga masih banyak yang kosong. Bas dah start masuk ke dalam kampus. Namun, ada beberapa pak guard di kawasan parking staff menarik perhatian aku. Mereka seperti mengawasi kawasan parking. Tapi mengapa mesti seawal 7.30 pagi? Kerja-kerja mereka tidak mengganggu aku. Setelah berlalu di kawasan situ, tahulah aku bahawa mereka memastikan ‘reserved parking’ segera dikosongkan dan kekal kosong. Itu pemerhatian aku.

Aku meneruskan langkah ke café berdekatan. Setibanya aku di sana, aku mencari meja yang agak selesa untuk aku duduk tanpa gangguan fizikal dan spiritual. Aku duduk memerhati persekitaran. Kesungguhan makcik cleaner lap kipas dan lampu menarik perhatian aku. Tanpa aku sedari bilangan makcik cleaner hari ini sedikit bertambah berbanding hari-hari sebelum ni. Seorang makcik memasuki kawasan café dengan kereta tolak yang dipenuhi pasu-pasu hiasan. Lalu diletakkan di tepi tiang-tiang café. Sepertinya ada suatu yang berbeza dari hari-hari sebelum ini. Banner promosi juga siap berbaris di tepi setiap gerai yang ada.

Pelbagai persoalan bermain dalam fikiranku. Cuma satu yang aku terfikir. Kalau kita mampu berusaha sebaik mungkin untuk persiapan menyambut seorang manusia yang mungkin sedikit tinggi darjatnya daripada kita, maka bagaimana kita dengan Yang Maha Tinggi darjatnya? Jika kita sangat mengharapkan pandangan baik seorang yang bergelar manusia, maka di mana pula Allah dalam hidup kita? Apakah kita lebih bersungguh-sungguh? Atau hanya ‘melepaskan ‘batok di tangga’? Nauzubillahi min zalik.. Moga Allah lindungi kita dari syirik samada disedari atau tidak atau diketahui atau tidak.

Monday, 19 March 2012

cinta

Itulah perkataan penuh rasa dan perasaan. Menyebutnya membuatkan jiwa terasa sesak dengan suatu rasa yang tidak akan mampu digambarkan. Manusia tidak akan mampu hidup tanpa cinta. Sungguh, semua yang tercipta ini dicipta kerana cinta. Kita juga hidup kerana cinta. Islam juga tersebar kerana cinta. Jika di’blend’ semua intipati Islam, maka hasilnya hanya dua, iaitu cinta dan benci.

Manusia yang bernama remaja atau pemuda lebih mudah terkesan apabila disebut tentang cinta. Apabila ditanya adakah mereka sedang bercinta, pasti jawapannya berbeza-beza. Ada yang teragak-agak untuk menjawabnya kerana bimbang disalah tafsirkan. Namun, jika benar mereka kira bahawa mereka sedang bercinta, pasti timbul suatu persoalan, adakah benar itu cinta?

Cinta itu suatu yang mulia. Sangat istimewa. Ia bukanlah suatu maksiat atau noda. Silaplah mereka yang mendekati zina mengatakan bahawa mereka telah jatuh cinta, padahal, mereka itu dikira jatuh nafsu, kerana tidak mampu menyalurkannya dengan sebaik-baik cara. Cinta mendekatkan kita kepada Allah s.w.t. Maka, apakah yang telah membuatkan ramai manusia terjatuh ke lembah hina dan semakin melupakan Penciptanya? Itulah maksiat yang telah dihias cantik oleh makhluk bernama Iblis.

Sungguh pelik apabila kita tidak mampu merasai keagungan Pencipta Cinta ini, sedangkan kita sangat teruja merasainya. Bukankah perasaan ini terlalu unik untuk digambarkan? Namun, mengapa hati kita terasa sungguh keras untuk mensyukurinya dan Allah yang menciptakannya? Malah perlu dipersoalkan juga sejauh mana tertariknya kita kepada Pencipta cinta ini berbanding cinta selainNya?

Kadang-kala, kita tidak menyedari bahawa cinta kepada selain Allah telah mengatasi cinta kita kepada Allah. Bersungguh kita ingin mengenali latar belakang si dia bakal teman hidup kita. Teruja kita untuk menimba ilmu sebanyaknya tentang perhubungan sesama manusia yang berlainan jantina. Susah hati kita apabila manusia kurang menyenangi diri kita atau mungkin memandang hina kita. Menyesal kita apabila tidak mampu membalas atau menghargai jasa baik dan pengorbanan mereka terhadap kita.

Namun, wahai hati, bagaimana Allah di setiap sisi itu? Di mana Rasulullah untuk semua aspek itu? Mengapa bukan redha Allah dan syafaat Rasulullah menjadi idaman hati kita? Mengapa cinta kepada Allah dan RasulNya terasa sangat jauh untuk dicapai? Mengapa hati sudah kaku untuk mengejar semua itu? Bukankah pengakhiran kita sangat bergantung kepada semua itu? Bukankah suatu yang pasti bahawa kita akan pergi jauh dan meninggalkan dunia ini?

SKEMA kali ke9 semalam terasa penuh muhasabah. Terlalu banyak lagi yang perlu disiapkan untuk pulang mengadap Allah s.w.t. kerana hidup ini hanyalah suatu perjalanan pulang untuk bertemu dengan Allah s.w.t. Pencipta diri ini, Pemelihara dan Pelindung, juga Yang Paling Mengasihani diri ini. Moga Allah sentiasa sudi memimpin setiap langkahan hidup ini agar sentiasa dalam rahmat dan kasih sayangNya.

Saturday, 17 March 2012

number one for me

Pagi ini penuh muhasabah. Seperti biasa ‘berjalan-jalan’ di ‘laman’ kenalan telah menjadi suatu hobi baru. Terlalu banyak yang boleh didapati dan dipelajari. Salah satu bicara yang menyentuh hati ialah

"If you want to know how will your spouse treat you, affectionate or hostile, observe how he treats his family members" - Pak Arbi, 2006.

Aku membatu, merenung bagaimana aku dengan keluarga. Melihat kembali hidup aku dengan mereka. Aku tahu yang aku selalu memendam cita-cita untuk melakukan yang lebih baik kepada mereka yang bakal mengisi hidup aku yang mendatang. Aku tak pernah mahu mereka melalui hal perit yang sama mahupun suasana sedih yang sama. Juga tidak akan aku biar mereka menangisi hari-hari mereka. Namun, bagaimana diri aku sekarang ini? Siapkah aku untuk semua itu? Atau aku juga akan menzalimi mereka?

Video Number One For Me oleh Maher Zain pula membuatkan aku berfikir panjang. Apa yang aku dah buat untuk si dia yang melahirkan dan bersusah-susah untuk aku? Mampukah diri ini membuatnya tersenyum setiap hari? Juga benar-benar menjadikannya ‘number one for me’? dan juga menyayanginya seperti dia menyayangi aku? Mengasihaninya seperti mana aku dikasihani?

Ya Allah, jadikanlah kami anak-anak yang soleh dan manusia luar biasa pembentuk generasi bertaqwa.

Friday, 16 March 2012

Allah don’t need us

Kita tercipta sebagai hamba, juga sebagai makhluk, juga sebagai manusia, yang tidak punya kudrat melainkan dengan rahmat dan kasih sayangNya. Namun, disifatkan sebagai pelupa begini, kita memang sangat pelupa, sangat mudah lupa dan sangat selalu lupa. Namun, dengan izin Allah jualah kita tergolong dalam kalangan hambaNya yang terpilih untuk sentiasa diperingatkan dari masa ke semasa.

Allah Pencipta dan Rabb yang penuh seni dan kebijaksanaan. Terlalu halus dididik dan dibimbingNya kita ke jalan yang benar. Setiap itu pasti ada hikmahnya. Setiap yang dilalui akan diganjari dan dibalas sesuai dengan kemampuan dan perbuatannya. Bukan kita untuk menghukum mengapa kita dan mengapa mereka. Tapi dengan semua inilah perlu kita pandang dengan penuh kebaikan dan pengajaran.

Hari ini terasa dipenuhi dosa dan kesilapan. Berbicara tentang buruk manusia sesedapnya. Melihat manusia bagaikan kita sebaik manusia. Kata negative dilepaskan begitu sahaja. Namun, Allah memilih untuk menegurku atas setiap satunya. Bicara Ustaz Nouman Ali Khan yang disampaikan pada aku cuma seringkas Allah don’t need us, tapi maknanya sungguh mendalam. Terlalu banyak yang boleh dihuraikan dan terlalu banyak teguranNya untukku di situ.

Kata murabbiku, kadang-kadang, hal yang disampaikan sama, tapi apabila si pemberinya itu berbeza, kesannya terasa berbeza. Pastilah melihat kembali pada kesihatan hatinya. Ada manusia, wajahnya biasa, namun, pandangan terhadapnya terasa luar biasa. Ketenangan dan kedamaian ada di wajahnya. Ada juga yang kulitnya tidak secerah kita, tapi darinya seakan terpancar cahaya.

Ya Allah, bantulah dan bimbinglah kami meniti hari ini dalam mempersiapkan diri untuk pulang menemuiMu.

Thursday, 15 March 2012

aku fitnah buatmu

Hari ni, aku temui kawanku yang aku akan bertemu di café hs setiap kali selesai kelas pada hari selasa dan khamis. Antara yang kami sembangkan hari ini adalah berkaitan dengan perbezaan lelaki dan perempuan. Meskipun diciptakan dengan fitrah dan ciri-ciri yang sama, namun, hakikatnya, terlalu besar bezanya dalam cara hidup, cara berfikir, cara menguruskan masalah dan sebagainya.

Aku pulang sendirian tengahari tu, aku tiba-tiba terfikir tentang satu hal yang aku selalu terfikir tentangnya, namun, aku tahu aku takkan mampu melakukannya. ‘Say sorry to all men’. Ya, memohon maaf, terutamanya buat mereka yang hatinya terganggu kerana silap aku, kerana terlalainya aku dan kerana lemahnya iman aku. Walau mungkin semua itu hanya perasaan aku. Kadang-kadang aku bermonolog sendirian;

“maafkan aku, adam,

andai aku fitnah buat kamu,

andai terganggu ketenteraman jiwamu,

andai hatimu sudah tidak seperti dulu.

Maafkan aku andai aku penyebab kau jadi begitu.

Ketahuilah, adam,

tak pernah aku ingin semua itu berlaku,

tak pernah aku ingin kau terlalai kerana aku,

kembalilah duhai adam,

kembalilah kepada dirimu yang dahulu,

seorang hamba yang mentaati Rabbnya selalu,

yang dirinya sentiasa khusyu’ kerana punya malu,

hatinya juga tenang dek takutkan Pencipta Yang Satu,

wahai adam, ketahuilah, doaku cuma satu,

ampunan Allah atas dosa dan alpanya aku,

juga anugerah terbaik berupa isteri solehah buat dirimu,

yang mana aku pasti bahawa si dia itu bukanlah aku.”

p/s: 'adam' di sini merujuk kepada semua manusia yang bernama lelaki

Wednesday, 14 March 2012

memaksa diri

Saya kira, tiada apa dalam hidup ini yang tidak memerlukan ‘paksaan terhadap diri’ melainkan ke arah sesuatu yang selari dengan nafsu. Misalnya, banyak rehat, banyak makan, banyak hiburan ialah sebahagian dari kesukaan nafsu. Maka, sesiapa sahaja pasti menyukainya dan tidak perlu memaksa diri untuk suka kerana sememangnya itulah nafsu dalam setiap diri kita.

Namun, apabila berkata tentang kebaikan atau suatu yang bertentangan dengan nafsu, pasti lebih susah kerana di saat itu, ‘paksaan terhadap diri’ adalah sangat diperlukan. Apabila proses ini berjalan dalam tempoh yang agak lama, hal itu akan menjadi suatu kebiasaan yang tidak memerlukan ‘paksaan terhadap diri’ malah boleh jadi suatu yang dirasakan perlu dan tidak mampu ditinggalkan.

Hati yang sedar pasti tahu bahawa dia sangat perlukan proses ini kerana inilah yang terbaik di sisi Allah, Pencipta dirinnya. Manakala, apabila hal itu melibatkan sesuatu yang perlu ditinggalkannya, maka pastilah dia akan berusaha sebaik mungkin untuk meninggalkannya kerana itulah yang dibenci oleh Allah s.w.t. Proses ini pasti menghasilkan suatu kebaikan buat dirinya. Itulah janji Allah. Allah ada berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 216 yang bermaksud:

“Diwajibkan kamu berperang, sedangkan ia yang kamu benci. Boleh jadi sesuatu yang kamu benci itu amat baik untuk kamu dan boleh jadi sesuatu yang kamu sukai pula amat buruk untuk kamu. Allah Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.”

Abah Rushdi, murabbiku yang teristimewa ada berkongsi suatu kata-kata yang pernah dikeluarkan oleh isterinya yang tercinta, Cikgu Maimunah, iaitu: “sesuatu yang paling sukar bagi nafsu adalah yang paling Allah suka”. Sungguh, bukan mudah meninggalkan kesukaan diri sendiri untuk mencari redha Allah s.w.t. Moga usaha kita yang sedikit dalam rangka mentaati Allah s.w.t. menjadi suatu amal soleh yang mendapat nilaian di sisi Allah s.w.t.

Memaksa diri saya hari ini untuk meninggalkan katil sedangkan badan tidak begitu sihat ditambah dengan sakit bulanan saya. Tapi Alhamdulillah, Allah hadiahkan kekuatan dan ketenangan. Walaupun terasa berperang dengan diri sendiri. Namun, perlu digagahkan juga kerana tiada uzur syar’ie yang mampu diberikan. Hakikatnya, terlalu banyak yang perlu disyukuri atas semua yang terjadi. Memaksa diri juga saya untuk mentaati Allah, terutamanya dalam menjaga pandangan agar sentiasa memandang segala yang dihalalkan Allah s.w.t. untuk saya.

Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk mentaatimu dan jadikanlah aku hambaMu yang benar-benar seorang hamba.

Monday, 12 March 2012

pasti punya hikmahnya

“…mesti ada hikmahnya…” Itulah kalimah yang biasa disebut-sebutkan apabila ada sesuatu yang menguji rasa atau mungkin tidak pernah dijangka. Hidup ini penuh dengan susunan dan takdir Allah, samada kita menyedarinya atau tidak. Tapi, hanya Allah yang tahu bagaimana hati kita. Sangat tenang menerimanya atau ‘berkata-kata’ tanpa henti. Sungguh, bukan mudah untuk ‘membisu’ hati ini saat hati rasa teruji, tapi sungguh “masa juga sebahagian daripada rawatan”. Allah juga ada berfirman dalam Surah Al-Ankabuut, ayat 2 yang membawa maksud:

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?"

Hari ini, sangat teruji dengan “sakit”. Bangun pagi dengan rasa sangat lemah. Sakit tekak. Kepala terasa pening. Hidung rasa nak selsema. Mungkin kerana aku yang minta, kerana jarang teruji dengan “sakit”. Hati pun berkata-kata kalau teruji dengan penyakit itu seronok? Syaitan.. Syaitan.. Namun, perlu digagahkan diri. Makcik Huda lebih sakit dan lebih letih berbanding aku. Itu yang aku terfikir.

Pagi tu pergi kelas soca, lecturer batuk-batuk. Selalu batuk. Pelajar juga kedengaran begitu, ada yang tak sihat. Hakikatnya, bukan kita saja yang Allah uji. Malah, kadang-kadang, apalah sangat ujian kita berbanding dengan makhluk Allah yang lain. Isu di Syria kini sebahagian daripada pengajaran, begitu juga Gaza dan Somalia. Bersyukurlah wahai diri dengan sebenar-benar syukur.

Petang tadi, main basikal dengan kawanku bernama Munirah. Dia pun tak sihat, walaupun aku tak perasan semua tu. Allah izin, jatuh basikal. Bak kata kawanku, “satu pengalaman”. Aku cuma terfikir yang aku telah lama meninggalkan makhluk bernama basikal, dan untuk belajar kali kedua ini, tentu ada ujian dan cabarannya. “Sakit” itu mesti. ‘Ala kulli hal, pasti ada hikmahnya.

Dinner malam tu, beli kat Maryam, café makcik yang sentiasa dirindui. Makcik mengadu rasa mengantuk seharian tu. Taktau kenapa. Kak Ida pula kehilangan satu-satunya cahaya mata anugerah Allah buatnya, Khairunnisa’ nama diberi. Menghembuskan nafas terakhir tanggal 1 Mac yang lalu di samping keluarganya di Indonesia. Tenang aku lihat kak Ida, walaupun aku yakin jauh di sudut hatinya, perasaan bercampur baur. Siapa tak sedih kehilangan anak yang baru berumur dua tahun. Moga Allah kurniakan Syurga buat kak Ida dan suami.

Ya Allah, masukkanlah kami dalam kalangan hambaMu yang sedikt, iaitu menjadikan kami hamba-hambaMu yang bersyukur, yang sentiasa bersyukur. Ampunkan kami, Ya Allah..

Sunday, 11 March 2012

mula mengorak langkah

Malam ni aku memula menulis. Bicara presiden kelab itu sangat terkesan pada diri aku. Aku ingin turut menyumbang, tapi aku berfikir, entah apa yang akan menolak aku menulis tanpa henti. Dulu pernah mencuba, tapi berhenti sekian lama. Seusai solah berjemaah di program tu, aku tahu, hanya IMAN dan IKHLAS tunjangnya. Aku cuma terfikir yang aku mungkin akan berdosa tidak menggilap minat dan potensi ini untuk Islam, sedangkan aku sedar dan aku tahu, tidak ramai punya fikrah islami dan tidak ramai punya potensi ini.

Aku perlu bertanggungjawab. Mulakan dengan coretan atau Cuma catatan harian. Memikirkan peningkatan dan kemajuannya. InsyaAllah, aku yakin satu perkara, bila kita buat untuk Islam dan kerana Allah, Allah pasti bantu. Pasti. Itu satu yang pasti. Allah ada berfirman dalam Surah Muhammad, ayat 7, yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”

Ya Allah, bantulah aku. Tetapkan hati ini dalam taat padaMu. Izinkan aku menyumbang sesuatu untuk Islam, sebagai bekalan pulang mengadapMu.