Monday, 16 April 2012

hanya angan-angan?


Berkata Imam Hasan Al-Basri: Iman itu bukanlah sekadar angan-angan dan bukan pula sekadar basa-basi dengan ucapan, akan tetapi sesuatu keyakinan yang terpatri dalam hati dan dibuktikan dengan amal perbuatan. Mungkin ada yang meyakininya, namun tidak mampu membuktikannya. Namun, keyakinan yang benar pasti menghasilkan amal. Tiada iman yang mampu duduk diam mahupun kekal pada tabiat lamanya. Dia pasti tertolak untuk melakukan untuk melakukan segalanya bersesuaian dengan kehendak Allah, kerana bejana iman ialah raja yang bernama hati. Masakan rakyat yang terdiri daripada pelbagai anggota badan ini mampu mengingkarinya.

Walau bagaimana pun, hati ini terlalu cepat berbolak balik, seperti keadaan air yang kita mampu lihat apabila ia mendidih. Begitulah iman yang ada turun naiknya. Hati yang ada perubahannya, samada ke arah kebaikan mahupun keburukan. Namun, hati ini perlukan rawatan yang berterusan. Iman pula memerlukan didikan yang berpanjangan. Tiada hentinya hinggalah roh meninggalkan jasadnya. Tiada jaminan kalau benar keredhaan Allah itu milik kita. Masakan kita mampu tahu sedangkan telah lama terhenti komunikasi antara langit dan bumi saat terhembusnya nafas Rasul kita yang terakhir.

Rasulullah, mampu kita rasakan keistimewaannya, hingga terkadang, apabila namanya kedengaran mahupun kisahnya diulang tayang, hati terasa sayu, jiwa menjadi sebak, mata kian berair. Siapa yang mampu menahan rindu ummat terhadap pemimpinnya yang terlebih dahulu menninggalkannya, namun telah berkorban untuknya, mengajarkan setiap perkara buat panduan hidupnya agar mampu menggapai kebahagiaan dunia akhirat. Pastilah pertemuan dan pertembungan mata di antaranya dan Insan Teragung itu sangat diidam-idamkan. Mimpi, angan-angan dan bayangan sahaja yang mampu menemaninya. Jika tiada usahanya untuk menjadi soleh yang mampu melayakkannya bertemu dengan Baginda di Syurga, masakan dia mampu bertemu dengannya walau sesaat yang diimpi-impikan?

No comments: