Beberapa hari ini, banyak hal yang tidak berlaku seperti biasa. Terlalu banyak. Atau mungkin sedikit, tapi aku yang terlalu memikirkannya. Tidak kurang juga yang aku pinta dan pinta, namun, cuma tinggal rancangan dan angan-angan. Ya, aku berhajat begini dan begitu, aku rancang begini dan begitu, tapi Allah sahaja yang mampu menyebabkannya terrealisasi, walau mungkin aku usaha dan berdoa sepenuh hati. Tidak lain melainkan kerana Allah Maha Mengetahui. Diketahui segalanya, dulu, kini, dan akan datang, baik buruknya, tersembunyi mahupun terzahir.
Setiap ketentuanNya, ada tarbiyah dan tazkirah penuh hikmah. Tidaklah dibalas atau diseksa melainkan setelah diperingat berkali-kali, Cuma manusia sahaja yang tidak menyedari dan mempelajarinya. Bukan Allah sengaja menentukannya, melainkan ada kebaikan dan rahmat kasih sayangNya. Allah tahu bahawa itulah yang mematangkan. Itulah yang membuatkan kita kembali muhasabah. Mungkin itulah sebaik cara yang membawa kita kepada tafakkur yang panjang. Allah sentiasa tahu. Allah sangat memahami. Masakan Dia tidak memahami sedangkan Dia yang menciptakan dan mengatur segala.
Beberapa hari atau minggu ini, sukar juga mendapat ubat hati, dua rakaat sebelum berkumandangnya azan subuh. Setiap hari, jam dikunci. Setiap hari punya azam dan harapan. Namun, segalanya, masih berlalu seperti biasa. Sedar aku ketika azan subuh. Allahu akbar. Terasa banyak silap dan dosa. Seharian aku bermuhasabah. Aku cuba jaga setiap yang dinginkanNya. Aku perhatikan setiap yang akan aku buat, sedang, mahupun yang baru saja berlalu. Istighfar aku lazimkan sehari itu. Malam itu, sungguh teruji dengan handphone aku atau locengku lantaran kehabisan bateri. Aku doa dan yakin. Allah pasti bantu jika benar itulah yang ingin diperkenankanNya. Alhamdulillah, tepat jam 5.00 pagi, aku terjaga.
Sungguh, kalau itulah yang disusunnya, pasti tidak akan termampu, walau hanya mengangkat mata atau berfikir dengan baik di pagi hari sebegitu. Namun, muhasabah itu membuatkan aku lebih berhati-hati berbanding kebiasaannya. Memerhati kebiasaan yang mungkin mengundang kemurkaan Allah s.w.t. Moga dengan belas kasihanNya Allah sentiasa sudi untuk membimbing aku menuju redhaNya dan memaafkan segala kekurangan diri ini.
No comments:
Post a Comment