Ujian sememangnya warna-warni kehidupan. Tiada erti hidup ini tanpa ujian. Begitu juga dalam menuntut ilmu, tidak kira sama ada secara rasmi atau tidak. Pastinya ilmu itu perlu diuji sama ada secara langsung atau tidak, untuk mengetahui tahap pengamatan dan penghayatan ilmu seseorang itu. Namun, ujian Allah kepada setiap hambaNya itu penuh hikmah dan pengajaran. Setiap itu hanya untuk kebaikan kita. Tidak mungkin Allah mengurniakan sesuatu untuk menzalimi hambaNya. Pasti ada sebabnya.
Seharian di Pengkalan Chepa semalam membuatkan aku berfikir dan sering berfikir tentang suatu yang dinamakan ujian. Seorang junior ku agak baru mendapatkan handphone nya, tetapi Allah mentakdirkan bahawa handphone itu terjatuh dalam tandas. Tiada apa yang mampu dibuat. Sedihnya tidak mampu menitiskan air mata. Namun, Allah pasti ada rancangan dan ketentuan yang terbaik buatnya. Hanya usapan dan doa sahaja yang mampu aku titipkan.
Selang beberapa jam, datang pula seorang junior yang lain menceritakan bahawa dia telah menjatuhkan DSLR milik ayah kepada seorang kawannya. Pecah seribu lense tersebut. Kejadian yang tak disangka kerana bantuan yang diminta oleh kawannya untuk mengambil buku dari dalam beg camera tersebut. Diangkatnya beg itu sedangkan ia tidak tertutup dengan baik. Kini, tahulah dia mengapa abangnya selalu melarang supaya tidak meletakkan apa-apa barang yang lain di dalam beg camera. Tapi, entah bagaimana untuk diganti barang yang harganya sekitar RM350-RM3500.
Disapa dengan seorang hamba Allah di suatu persimpangan jalan itu membuatkan aku teringat kembali ujian bernama ‘fitnah’ yang pernah menyapa hidup aku beberapa bulan yang lalu. Aku kira itu ‘fitnah’ pertama buat aku, walaupun ada yang berpendapat bahawa aku tidak sesuai dengan ‘fitnah’ sebegitu, atau mungkin bukan aku untuk ujian seperti itu. Namun, Allah lebih mengetahui. Allah tahu bahawa itulah yang terbaik dan paling sesuai untukku. Sungguh, ujian ini menguji rasa, mengajar aku berbaik sangka dan membuatkan aku belajar erti ukhwah yang sebenar.
Ujian ini, tak pernah aku terfikir tentangnya. Tak pernah aku jangka. Apatah lagi apabila melibatkan kenalan yang aku kenal sejak kecil, juga kenalan yang sangat dekat di hati ini. Entah mengapa ingin diuji semua ini. Khabar-khabar angin yang berbaur gosip seakan menjadi sebuah kisah ‘nur kasih’ versi baru. Aku berbalas msg dengan si dia? Tidak sekali aku msg melainkan untuk bertanya tentang status keluarganya yang tidak dapat sku hubungi. Hanya seringkas itu. Itu menghantar msg namanya, bukan berbalas msg seperti yang dikatakannya. Aku demam dan ditemani si dia ke klinik? Sungguh lama rasanya aku tak demam. Rapat aku dengan adiknya untuk si dia? Bagaimana mungkin sedangkan dia telah disusun untuk selainku?
Allahu akbar. Perlu aku lupakannya agar mampu meniti hari-hari baru dengan sebaiknya, walau hati ini seakan terhiris dan pedih. Perlu aku menyantuni mereka seperti biasa atas kerja-kerja yang ada, juga sebagai kenalan sejak kecil lagi, walau hati ini seakan ingin lari dari mereka. Perlu juga mendoakan kebaikan mereka, walau hati terasa sedih atas segala yang berlaku. Sungguh aku ingin Allah menetapkan teman hidup buat semuanya sesegera mungkin. Kerana harapan aku cuma satu, agar mampu meredakan semua, menenangkan hati mereka dan menghentikan segala tekaan dan cerita.
Ya Allah, ampunkan aku atas rasa hati yang tidak soleh dan tentukanlah yang terbaik buat aku, dia dan mereka.
No comments:
Post a Comment