Setiap rancangan kita, takkan mungkin tercapai tanpa izin dan bantuan Allah s.w.t. walau mungkin diusahakan sebaiknya atau dipertahankan semampunya, namun, apabila Allah mentakdirkan penghalang buatnya, maka, tiada yang mampu melawannya. Allah akan sentiasa tentukan yang terbaik, Cuma kita sahaja yang perlu belajar menerimanya dengan iman. Jika tidak, semuanya kelihatan silap dan rosak. Padahal, Allah pasti menggantikannya dengan sebaik-baik takdir, walau mungkin terasa kurang baik di sisi kita.
Semalam nak jumpa Ust Habibullah, tapi tak kesampaian. Rancangan hanya tinggal angan-angan. Allah izin, asar hari itulah menjadi pilihan Deputy Dean untuk memanggilnya. Ditambah pula dengan hujan yang teramat lebat. Sangatlah menggerunkan setiap hati yang dimiliki manusia. Ya, saat begitu, tiada siapa yang mampu menjamin keselamatannya, dengan dentuman guruh dan kilat yang sabung menyabung. Allahu akbar. Hanya istighfar yang meniti di bibir. Merata aku memandu, tak tahu di mana untuk berteduh. Saat itu, aku teringat warga matri yang meninggal dihempap pokok ketika hujan lebat. Sungguh, manusia itu lemah dan ajal yang datang takkan mampu dihalau pergi.
Petang ini pula, teman-teman mahu ke kenduri aqiqah si kecil yang baru sahaja dilahirkan. Perancangan seakan baik nampaknya. Namun, jangkaan bahawa jalan akan menjadi sangat sesak membuatkan kami fikir banyak. Mak juga tak berapa nak izinkan. Ingin digagahkan juga, tapi tiada siapa yang mampu bertahan kalau kesesakannya hingga 2-3 jam. Walau bagaimana pun, panggilan kepada kakak senior aku membuatkan aku tahu bahawa mereka sememangnya nekad dan berhajat. Mereka tetap pergi ke sana walau aku tak tahu apa entah usaha mereka. Mungkin kerana ibu muda itu kawan lama, sekampung pula tu.
Apa-apa pun, Allah tahu yang terbaik. Rancanglah bagaimana sekali pun, perlulah diserahkan semuanya kepada takdir dan ketentuan yang semestinya terbaik di sisi Allah s.w.t. Allah sentiasa rancang yang terbaik, yang mana akhirnya, kita pasti merasai kebaikannya dan bersyukur atas ketentuannya itu, walau mungkin bermula dengan rasa kurang senang di hati kecil kita ini. Kerana Allah sendiri ada berfirman dalam Surah Ali Imran, ayat 45 yang bermaksud:
“Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itu pun merancang tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.”
No comments:
Post a Comment