Itulah perkataan penuh rasa dan perasaan. Menyebutnya membuatkan jiwa terasa sesak dengan suatu rasa yang tidak akan mampu digambarkan. Manusia tidak akan mampu hidup tanpa cinta. Sungguh, semua yang tercipta ini dicipta kerana cinta. Kita juga hidup kerana cinta. Islam juga tersebar kerana cinta. Jika di’blend’ semua intipati Islam, maka hasilnya hanya dua, iaitu cinta dan benci.
Manusia yang bernama remaja atau pemuda lebih mudah terkesan apabila disebut tentang cinta. Apabila ditanya adakah mereka sedang bercinta, pasti jawapannya berbeza-beza. Ada yang teragak-agak untuk menjawabnya kerana bimbang disalah tafsirkan. Namun, jika benar mereka kira bahawa mereka sedang bercinta, pasti timbul suatu persoalan, adakah benar itu cinta?
Cinta itu suatu yang mulia. Sangat istimewa. Ia bukanlah suatu maksiat atau noda. Silaplah mereka yang mendekati zina mengatakan bahawa mereka telah jatuh cinta, padahal, mereka itu dikira jatuh nafsu, kerana tidak mampu menyalurkannya dengan sebaik-baik cara. Cinta mendekatkan kita kepada Allah s.w.t. Maka, apakah yang telah membuatkan ramai manusia terjatuh ke lembah hina dan semakin melupakan Penciptanya? Itulah maksiat yang telah dihias cantik oleh makhluk bernama Iblis.
Sungguh pelik apabila kita tidak mampu merasai keagungan Pencipta Cinta ini, sedangkan kita sangat teruja merasainya. Bukankah perasaan ini terlalu unik untuk digambarkan? Namun, mengapa hati kita terasa sungguh keras untuk mensyukurinya dan Allah yang menciptakannya? Malah perlu dipersoalkan juga sejauh mana tertariknya kita kepada Pencipta cinta ini berbanding cinta selainNya?
Kadang-kala, kita tidak menyedari bahawa cinta kepada selain Allah telah mengatasi cinta kita kepada Allah. Bersungguh kita ingin mengenali latar belakang si dia bakal teman hidup kita. Teruja kita untuk menimba ilmu sebanyaknya tentang perhubungan sesama manusia yang berlainan jantina. Susah hati kita apabila manusia kurang menyenangi diri kita atau mungkin memandang hina kita. Menyesal kita apabila tidak mampu membalas atau menghargai jasa baik dan pengorbanan mereka terhadap kita.
Namun, wahai hati, bagaimana Allah di setiap sisi itu? Di mana Rasulullah untuk semua aspek itu? Mengapa bukan redha Allah dan syafaat Rasulullah menjadi idaman hati kita? Mengapa cinta kepada Allah dan RasulNya terasa sangat jauh untuk dicapai? Mengapa hati sudah kaku untuk mengejar semua itu? Bukankah pengakhiran kita sangat bergantung kepada semua itu? Bukankah suatu yang pasti bahawa kita akan pergi jauh dan meninggalkan dunia ini?
SKEMA kali ke9 semalam terasa penuh muhasabah. Terlalu banyak lagi yang perlu disiapkan untuk pulang mengadap Allah s.w.t. kerana hidup ini hanyalah suatu perjalanan pulang untuk bertemu dengan Allah s.w.t. Pencipta diri ini, Pemelihara dan Pelindung, juga Yang Paling Mengasihani diri ini. Moga Allah sentiasa sudi memimpin setiap langkahan hidup ini agar sentiasa dalam rahmat dan kasih sayangNya.
No comments:
Post a Comment