Beberapa hari ini, terasa banyak sungguh diselang-selikan dengan suatu pengajaran yang bernama TAKDIR. Banyak hal yang berlaku hanya di sekitar tajuk itu, sama ada pengamatan aku sendiri atau mungkin temanku yang lain.
Aku teruji dengan ujian yang akan dirasakan unik oleh semua yang mendengar, iaitu pertemuan dengan ajnabi yang tidak dikenali, bukan pernah berurusan atau sekelas dan semestinya tidak pernah disengajakan, tapi kekerapannya hanya Allah yang tahu. Susah hati ini. Aku cuma terasa betapa uniknya ujian itu, namun, entah apa yang ingin Allah ceritakan. Ligat otak ku mencari jawapan, mengapa mesti aku lihat dia setiap hari, hampir setiap hari. Malah kadang-kadang bukan sekali sehari.
Alhamdulillah, pertemuan dengan teman sefikrah sentiasa istimewa. Mungkin ada hikmah baru yang dipelajari. Apabila kesedihan diluahkan, pasti nasihat yang akan aku dapati. Namun, pertemuan dengan seorang junior ku di tepi masjid membuatkan aku semakin ligat mencari jawapan. Hanya istighfar aku ucapkan atas kekeliruan yang teramat sangat. Satu yang terlintas ketika itu hanya menjaga pandangan. Mungkin benar Allah ingin mengajar aku erti ‘menjaga pandangan’. Jika ia ditundukkan, pasti tidak aku resah lantaran tidak menyedari kehadirannya walau hanya di sebelah meja.
Junior sekolah yang baru mendapatkan keputusan SPM semalam juga membangkitkan hal yang sama. Hatinya terasa sesak dengan keadaan hatinya yang sedikit sukar menerima keputusannya itu walaupun disyukurinya. Aku mulakan bicara bahawa sesungguhnya cakap lebih mudah dari buat. Sungguh, semua nasihat itu untuk aku sebenarnya. Untuk hati aku. Terlalu banyak berbicara. Di sana sini nasihat diminta dan diberi. Tapi hati ini, hanya Allah yang tahu.
Ya Allah, bantulah aku dalam mujahadah ini. Berilah aku kekuatan untuk mempersiapkan hati ini menghadapMu.
No comments:
Post a Comment