Hari ini, alhamdulillah, diizinkan Allah datang awal ke tempat aku belajar, jalan agak lenggang, parking kereta juga masih banyak yang kosong. Bas dah start masuk ke dalam kampus. Namun, ada beberapa pak guard di kawasan parking staff menarik perhatian aku. Mereka seperti mengawasi kawasan parking. Tapi mengapa mesti seawal 7.30 pagi? Kerja-kerja mereka tidak mengganggu aku. Setelah berlalu di kawasan situ, tahulah aku bahawa mereka memastikan ‘reserved parking’ segera dikosongkan dan kekal kosong. Itu pemerhatian aku.
Aku meneruskan langkah ke café berdekatan. Setibanya aku di sana, aku mencari meja yang agak selesa untuk aku duduk tanpa gangguan fizikal dan spiritual. Aku duduk memerhati persekitaran. Kesungguhan makcik cleaner lap kipas dan lampu menarik perhatian aku. Tanpa aku sedari bilangan makcik cleaner hari ini sedikit bertambah berbanding hari-hari sebelum ni. Seorang makcik memasuki kawasan café dengan kereta tolak yang dipenuhi pasu-pasu hiasan. Lalu diletakkan di tepi tiang-tiang café. Sepertinya ada suatu yang berbeza dari hari-hari sebelum ini. Banner promosi juga siap berbaris di tepi setiap gerai yang ada.
Pelbagai persoalan bermain dalam fikiranku. Cuma satu yang aku terfikir. Kalau kita mampu berusaha sebaik mungkin untuk persiapan menyambut seorang manusia yang mungkin sedikit tinggi darjatnya daripada kita, maka bagaimana kita dengan Yang Maha Tinggi darjatnya? Jika kita sangat mengharapkan pandangan baik seorang yang bergelar manusia, maka di mana pula Allah dalam hidup kita? Apakah kita lebih bersungguh-sungguh? Atau hanya ‘melepaskan ‘batok di tangga’? Nauzubillahi min zalik.. Moga Allah lindungi kita dari syirik samada disedari atau tidak atau diketahui atau tidak.
No comments:
Post a Comment