Entah kenapa kenangan zaman sekolah tiba-tiba menjengah. Mungkin teringatkan msg luahan hati seorang veteran yang aku kasihi. “…sayang anak…” Msg itu tidak mampu aku balas. Aku jadi kelu. Sungguh, ucapan aku untuk dia melebihi itu. Entah kenapa dia menjadi sebegitu istimewa. Dirinya yang bersahaja selalu buat aku tenang. Sikapnya sebagai bapa buat aku semakin senang. Guraunya penuh hikmah. Soalnya penuh ramah. Pernah dia melabel aku anak angkatnya, walau tak pernah disebutnya di depan aku, setakat ingatan aku. Ingin aku jerit ‘kau juga ayahku’.
Sungguh, saat bersamanya menjadi kenangan terindah aku di sekolah itu. Apabila perlu aku memilih peribadi teristimewa dalam kalangan warga sekolah itu, pasti nama dia akan aku senarai. Kasih sayang isterinya yang lemah lembut juga sering buat aku ingin duduk lama bersamanya. Syuyukh ini sungguh istimewa buat aku. Jika aku ingin bertanya khabar sekolah, pasti nama mereka akan aku sebut juga. Cuma kalau nanti ‘saat pulang’ mereka tiba, pasti aku jadi kaku, tangis aku untuk kamu, dan akan ligat aku mencari tempat luahan aku. Sungguh, belum pasti ada penggantimu, walaupun kamu hanya kerani sekolah itu. Akan aku kirimkan doa buatmu.
Zaman kecilku di sekolah rendah juga menjengah beberapa hari ini. Pertanyaan berkaitan dengan baju kenangan kelas itu selalu membuat aku termenung seketika. Sungguh, aku rindu. Saat-saat itu masih segar dalam ingatanku. Melihat kamu membesar dan melalui fasa-fasa hidup ini sering buat aku tersenyum. Bersama-sama belajar mengerti hakikat hidup ini membuatkan aku terasa kenikmatannya. Mungkin ini juga nikmat membesar dalam biah ini, biah solehah. Sedih dan sakit kamu membuatkan aku turut keresahan, walau terkadang, aku juga keliru, mengapa semua itu aku rasai. Kesilapan kamu dan penyesalan itu juga membuatkan aku termenung, aku turut merasainya dan aku iringi kamu dengan doaku.
Semua kenangan itu aku terasa keunikannya. Mendengar namamu membuatkan aku terasa dekat, seakan saudara rapat. Mendengar cerita tentang kamu pasti membuat aku fokus. Sungguh, kalian juga sebahagian hidupku. Pertemuan yang kadang-kadang tidak disengajakan itu juga membuatkan aku sentiasa rindu semua itu. Bukan hanya rindukan ‘sakat-menyakat’ itu, namun, sungguh, zaman itu istimewa. Zaman yang semestinya sangat berbeza dengan hari-hari ini. Namun, kenangan bersama kalian tidak mampu ganti baru. Akan aku sematnya di hatiku, juga kiriman doa buat setiap kamu.
Ya Allah, yang membolak-balikkan hati kami, tetapkanlah hati-hati ini dalam deen-Mu dan ketaatan padaMu. Bantulah kami untuk mengingatMu, mensyukuriMu dan juga untuk sebaik-baik ibadah kepadaMu.
No comments:
Post a Comment