Wednesday, 14 March 2012

memaksa diri

Saya kira, tiada apa dalam hidup ini yang tidak memerlukan ‘paksaan terhadap diri’ melainkan ke arah sesuatu yang selari dengan nafsu. Misalnya, banyak rehat, banyak makan, banyak hiburan ialah sebahagian dari kesukaan nafsu. Maka, sesiapa sahaja pasti menyukainya dan tidak perlu memaksa diri untuk suka kerana sememangnya itulah nafsu dalam setiap diri kita.

Namun, apabila berkata tentang kebaikan atau suatu yang bertentangan dengan nafsu, pasti lebih susah kerana di saat itu, ‘paksaan terhadap diri’ adalah sangat diperlukan. Apabila proses ini berjalan dalam tempoh yang agak lama, hal itu akan menjadi suatu kebiasaan yang tidak memerlukan ‘paksaan terhadap diri’ malah boleh jadi suatu yang dirasakan perlu dan tidak mampu ditinggalkan.

Hati yang sedar pasti tahu bahawa dia sangat perlukan proses ini kerana inilah yang terbaik di sisi Allah, Pencipta dirinnya. Manakala, apabila hal itu melibatkan sesuatu yang perlu ditinggalkannya, maka pastilah dia akan berusaha sebaik mungkin untuk meninggalkannya kerana itulah yang dibenci oleh Allah s.w.t. Proses ini pasti menghasilkan suatu kebaikan buat dirinya. Itulah janji Allah. Allah ada berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 216 yang bermaksud:

“Diwajibkan kamu berperang, sedangkan ia yang kamu benci. Boleh jadi sesuatu yang kamu benci itu amat baik untuk kamu dan boleh jadi sesuatu yang kamu sukai pula amat buruk untuk kamu. Allah Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.”

Abah Rushdi, murabbiku yang teristimewa ada berkongsi suatu kata-kata yang pernah dikeluarkan oleh isterinya yang tercinta, Cikgu Maimunah, iaitu: “sesuatu yang paling sukar bagi nafsu adalah yang paling Allah suka”. Sungguh, bukan mudah meninggalkan kesukaan diri sendiri untuk mencari redha Allah s.w.t. Moga usaha kita yang sedikit dalam rangka mentaati Allah s.w.t. menjadi suatu amal soleh yang mendapat nilaian di sisi Allah s.w.t.

Memaksa diri saya hari ini untuk meninggalkan katil sedangkan badan tidak begitu sihat ditambah dengan sakit bulanan saya. Tapi Alhamdulillah, Allah hadiahkan kekuatan dan ketenangan. Walaupun terasa berperang dengan diri sendiri. Namun, perlu digagahkan juga kerana tiada uzur syar’ie yang mampu diberikan. Hakikatnya, terlalu banyak yang perlu disyukuri atas semua yang terjadi. Memaksa diri juga saya untuk mentaati Allah, terutamanya dalam menjaga pandangan agar sentiasa memandang segala yang dihalalkan Allah s.w.t. untuk saya.

Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk mentaatimu dan jadikanlah aku hambaMu yang benar-benar seorang hamba.

No comments: