Hari ini, selesai mengambil nasihat dari majlis ilmu bernama
MESRA di cheras. Moga penerimaan ilmu dan nasihat itu diiringi tindakan dan amalan,
di samping kemesraan yang terbina. Namun, malam tu, masih terngiang-ngiang nasihat
emak di pagi hari untuk belajar menerima nasihat atau teguran dengan baik,
terutamanya dalam kerja-kerja yang melibatkan banyak pihak. Sememangnya menguji
rasa.
Aku manusia ciptaan Allah, aku dicipta daripada tiada kepada
ada. Dan aku pasti kembali, walau tak mampu aku menghitung hari, kerana aku
benar-benar tidak tahu. Mungkin aku sangka itu saatnya, namun, Allah tahu ia
bukan waktunya. Moga Allah menjemputku saat Dia benar-benar meredhaiku. Sukar sungguh
meniti hidup ini, namun, kesucian yang tulen itu tuntutan terbesar bagi aku. Cinta
sejati juga tidak mudah aku gapai di atas puncak kesungguhan dan konsistensi
itu.
Aku makhluk yang telah siap diilhamkan dengan fujur dan
taqwa. Sungguh, itulah seorang manusia, dibekalkan dengan sifat yang baik dan jahat.aku
menyedari kebaikan-kebaikan itu dan aku mengetahui kejahatan-kejahatan itu. Namun,
itulah ketentuan Allah yang perlu diiringi dengan tarbiyah islamiyah harakiyah. Bukan sekadar
mengekalkan kebaikannya, malah meningkatkan dan mengembangkannya. Tidak melupakan
kejahatan atau aib yang perlu dikikis dan dirawat sebaiknya.
Aku benar-benar mengimpikan kebahagiaan dunia dan akhirat,
kenikmatan dalam setiap perhubungan, kebenaran dalam setiap perasaan. Mungkin itu
juga impian setiap insan, tetapi sejarah hidupku yang ‘ternoda’ membuatkan rasa
hati itu semakin kuat kerana aku sering bermain dengan tekad-tekad baru untuk
memperbaiki sesuatu. Namun, itu semua tidak mampu menguatkan IMAN. Kekurangan diri
aku, tetap kekal sebagai kekurangan, yang sangat membutuhkan waktu, waktu dan
waktu.
Teman, aku ingin kau tahu bahawa aku sentiasa ingin menjadi
sebaik mereka, namun, aku terkadang tetap tersalah dalam memilih cara. Aku akan
pasti melukakanmu dalam setiap saat yang akan kita lalu. Maafkan aku teman, sungguh,
bukan itu hajat hati kecil ini. Sungguh kemaafan itu akan ku impi selalu, agar
mampu membina redhamu walau mungkin sekecil debu. Didiklah aku tanpa jemu. Bimbinglah
aku, wahai temanku. Moga Allah sentiasa mengasihimu.
No comments:
Post a Comment