Thursday, 29 March 2012

hanya Allah mampu

Suatu pengajaran yang aku belajar dalam beberapa hari ini ialah lemahnya manusia dan berkuasanya Allah. Sungguh, tiada yang mampu mengubahnya apabila Allah menghendaki semua itu. Walau mungkin kita berusaha atau manusia di sekeliling kita ingin menghulurkan bantuan, namun, tiada perubahan yang mampu dibuat, walaupun sedikit. Dengan takut dan harap, manusia pasti akan kembali kepada Allah s.w.t. yang menguasai segalanya, kerana hanya itu jalannya.

Saat hati terasa dihiris kesedihan yang teramat sangat, luahan hati hanya sebahagian kecil usaha yang mampu dibuat, tapi hanya Allah yang mampu mengangkat keresahan itu. Apabila ada kejadian yang akan berlaku, mungkin kita berusaha mengubah atau mengelak daripadanya, namun, hanya Allah yang mampu mengubah segala takdirnya. Jika telah tiba ajalnya, kesakitannya atau ujian hidupnya, tiada yang berkuasa mengubahnya atau mengahalanginya daripada berlaku. Sungguh, hanya Allah yang mampu, dan semua itu sudah termaktub sejak ditiupkan roh ke dalam jasad kita, seperti dalam hadits yang membawa maksud:

“Dari Abu Abdurrahman Abdullah bin Mas’ud radiallahuanhu beliau berkata : Rasulullah menyampaikan kepada kami dan beliau adalah orang yang benar dan dibenarkan : Sesungguhnya setiap kalian dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya sebagai setetes mani selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi setetes darah selama empat puluh hari, kemudian menjadi segumpal daging selama empat puluh hari. Kemudian diutus kepadanya seorang malaikat lalu ditiupkan padanya ruh dan dia diperintahkan untuk menetapkan empat perkara : menetapkan rizkinya, ajalnya, amalnya dan kecelakaan atau kebahagiaannya. Demi Allah yang tidak ada ilah selain-Nya, sesungguhnya diantara kalian ada yang melakukan perbuatan ahli syurga hingga jarak antara dirinya dan syurga tinggal sehasta akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli neraka maka masuklah dia ke dalam neraka. sesungguhnya diantara kalian ada yang melakukan perbuatan ahli neraka hingga jarak antara dirinya dan neraka tinggal sehasta akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli syurga maka masuklah dia ke dalam syurga.” (HR Bukhori & Muslim)

Namun, ada juga manusia yang terasa dialah yang terbaik, dia sahaja yang berkuasa, hanya dia yang layak untuk semua itu. Malah kadang-kadang, hal itu tiada keuntungan buatnya, mungkin hanya pujian atau rasa kagum manusia. Bak kata Ust Nouman, apabila kita ada penyakit itu, sungguh, kita dalam bahaya, kita punya penyakit yang sangat merbahaya. Walau hanya memandang rendah pada manusia selainnya. Penyakit ini, hanya kita yang tahu, hanya kita yang menyedarinya dan hanya kita jualah yang mampu berusaha mengubatinya.

Teramat mudah untuk hati ini berkata-kata sedemikian. Namun, perlulah diusahakan agar penyakit ini dapat diubati dengan zikrullah dan berteman dengan sahabat yang soleh. Agar kita sentiasa menyedari keterbatasan kemampuan kita dan hakikat diri yang sangat memerlukan didikan dan bimbingan. Hal ini disebabkan, betapa besarnya hajat dan keperluan kita terhadap rahmat dan syurga Allah s.w.t. Satu hadits Rasulullah s.a.w. membawa maksud:

“Dari Abdullah bin Mas’ud r.a., Nabi s.a.w. bersabda: Tidak masuk Syurga orang yang terdapat di hatinya walau sebesar zarah perasaan takabbur.” (HR Muslim)

Ya Allah, kami berlindung kepadaMu daripada mensyirikkanMu dengan sesuatu yang kami ketahui dan kami mohon keampunan atas sesuatu yang kami tidak ketahui.

Wednesday, 28 March 2012

hidup ini singkat

Sungguh, hidup ini terlalu sementara. Jika difikirkan kembali sesuatu yang telah berlaku, pasti segalanya terasa bagai baru semalam kita melaluinya. Bagai baru semalam kita menempuh hari-hari itu. Sememangnya hidup ini terlalu singkat. Jika dibandingkan umur kita dengan panjangnya umur dunia ini, sungguh kecil peratusannya. Apatah lagi Akhirat yang selama-lamanya,

Murabbi tercinta pernah bercerita yang dia pernah bertanya kepada pelajarnya:

“Akhirat itu berapa lama?”

“selama-lamanya.”

“selama-lamanya tu, berapa lama?”

“selama-lamanya.”

Sungguh selamaya-lamanya yang kita tak mampu gambarkan.

Hidup yang singkat ini telah dijanjikan bahawa akan diakhiri dengan kematian. Kematian yang tidak akan diketahui tarikhnya. Namun, tidak ramai manusia yang benar-benar merasainya dan memanfaatkannya. Hidup yang tidak diketahui tarikh luputnya sepatutnya diperhatikan sentiasa bahawa dirinya perlu dipersiapkan. Tapi hanya sedikit yang berusaha. Kebanyakannya menempu sesuka hati. Berhibur tanpa batasnya. Seakan hidup yang sementara ini adalah hanya untuk diperlakukan sesedap rasa.

Begitu juga dalam menguruskan kehidupan kita sehari-hari. Tugasan yang diberi dua bulan yang lalu hanya dibuat pada dua minggu yang terakhir. Ulangkaji hanya akan dibuat apabila menyedari bahawa ujian tersebut akan diadakan beberapa hari lagi. Kesihatan hanya akan dijaga apabila sudah mengetahui kewujudan penyakit yang dihidapi. Sungguh, manusia sering lalai dari mengambil pengajaran dari hadits Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara; sihat sebelum sakit; muda sebelum tua; kaya sebelum miskin; lapang sebelum sempit; hidup sebelum mati”

Ya Allah, bantulah kami dalam mujahadah ini. Sungguh, tiada daya dan upaya melainkan dengan izinMu.

Monday, 26 March 2012

nasib yang sama

Dua hari di Dengkil banyak menyentuh hati ini. Aku jadi bermuhasabah sendirian. Syukur aku. Kesungguhan aku. Ketaatan aku. Diri aku. Iman aku. Hati aku. Sungguh banyak untuk aku senaraikan. Moga yang terpukul itu iman aku. Kehangatan iman yang mampu bertahan lama selama mana baiknya keadaan iman itu. Iman yang membuatkan aku tidak mampu duduk diam kerana terlalu banyak tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Bicara Ustaz Dzikrullah masih jelas kedengaran di telingaku bahawa nasib kita dan nasib Rasulullah s.a.w. adalah sama. Hampir menitis air mata aku. Aku jadi sebak. Aku termenung sendiri. Aku dan Baginda yang mulia itu lahir ketika mana Masjid Al-Aqsa dijajah. Saat Masijd itu dalam genggaman musuh-musuh Allah. Benarlah kalau Masjidil Haram dan Masjid Nabawi diganggu ketenteramannya, pasti heboh seluruh dunia. Namun, mengapa dengan Masjid ini? Bukankah ia juga Masijd yang dimuliakan Allah?

Tidak kurang juga keadaan hidup saudara seaqidah kita di seluruh dunia. Penindasan dan kezaliman mengiringi setiap langkahan mereka sehari-hari. Tiada keamanan yang dirasai. Setiap pergerakan diperhati. Berita kematian menghiasi hidup mereka. Mereka seakan menanti giliran seterusnya. Namun, berjiwa kental dan punya keimanan luar biasa. Bagaimana mungkin manusia yang telah diseksa dan sedang diseksa sebegitu rupa masih mampu menghulurkan bantuan buat saudara muslim di negera lain yang ditimpa bencana alam? Sungguh, ia membuatkan aku berfikir sendiri. Jiwa apakah itu?

Thursday, 22 March 2012

semua kenangan itu

Entah kenapa kenangan zaman sekolah tiba-tiba menjengah. Mungkin teringatkan msg luahan hati seorang veteran yang aku kasihi. “…sayang anak…” Msg itu tidak mampu aku balas. Aku jadi kelu. Sungguh, ucapan aku untuk dia melebihi itu. Entah kenapa dia menjadi sebegitu istimewa. Dirinya yang bersahaja selalu buat aku tenang. Sikapnya sebagai bapa buat aku semakin senang. Guraunya penuh hikmah. Soalnya penuh ramah. Pernah dia melabel aku anak angkatnya, walau tak pernah disebutnya di depan aku, setakat ingatan aku. Ingin aku jerit ‘kau juga ayahku’.

Sungguh, saat bersamanya menjadi kenangan terindah aku di sekolah itu. Apabila perlu aku memilih peribadi teristimewa dalam kalangan warga sekolah itu, pasti nama dia akan aku senarai. Kasih sayang isterinya yang lemah lembut juga sering buat aku ingin duduk lama bersamanya. Syuyukh ini sungguh istimewa buat aku. Jika aku ingin bertanya khabar sekolah, pasti nama mereka akan aku sebut juga. Cuma kalau nanti ‘saat pulang’ mereka tiba, pasti aku jadi kaku, tangis aku untuk kamu, dan akan ligat aku mencari tempat luahan aku. Sungguh, belum pasti ada penggantimu, walaupun kamu hanya kerani sekolah itu. Akan aku kirimkan doa buatmu.

Zaman kecilku di sekolah rendah juga menjengah beberapa hari ini. Pertanyaan berkaitan dengan baju kenangan kelas itu selalu membuat aku termenung seketika. Sungguh, aku rindu. Saat-saat itu masih segar dalam ingatanku. Melihat kamu membesar dan melalui fasa-fasa hidup ini sering buat aku tersenyum. Bersama-sama belajar mengerti hakikat hidup ini membuatkan aku terasa kenikmatannya. Mungkin ini juga nikmat membesar dalam biah ini, biah solehah. Sedih dan sakit kamu membuatkan aku turut keresahan, walau terkadang, aku juga keliru, mengapa semua itu aku rasai. Kesilapan kamu dan penyesalan itu juga membuatkan aku termenung, aku turut merasainya dan aku iringi kamu dengan doaku.

Semua kenangan itu aku terasa keunikannya. Mendengar namamu membuatkan aku terasa dekat, seakan saudara rapat. Mendengar cerita tentang kamu pasti membuat aku fokus. Sungguh, kalian juga sebahagian hidupku. Pertemuan yang kadang-kadang tidak disengajakan itu juga membuatkan aku sentiasa rindu semua itu. Bukan hanya rindukan ‘sakat-menyakat’ itu, namun, sungguh, zaman itu istimewa. Zaman yang semestinya sangat berbeza dengan hari-hari ini. Namun, kenangan bersama kalian tidak mampu ganti baru. Akan aku sematnya di hatiku, juga kiriman doa buat setiap kamu.

Ya Allah, yang membolak-balikkan hati kami, tetapkanlah hati-hati ini dalam deen-Mu dan ketaatan padaMu. Bantulah kami untuk mengingatMu, mensyukuriMu dan juga untuk sebaik-baik ibadah kepadaMu.

Wednesday, 21 March 2012

takdirNya

Beberapa hari ini, terasa banyak sungguh diselang-selikan dengan suatu pengajaran yang bernama TAKDIR. Banyak hal yang berlaku hanya di sekitar tajuk itu, sama ada pengamatan aku sendiri atau mungkin temanku yang lain.

Aku teruji dengan ujian yang akan dirasakan unik oleh semua yang mendengar, iaitu pertemuan dengan ajnabi yang tidak dikenali, bukan pernah berurusan atau sekelas dan semestinya tidak pernah disengajakan, tapi kekerapannya hanya Allah yang tahu. Susah hati ini. Aku cuma terasa betapa uniknya ujian itu, namun, entah apa yang ingin Allah ceritakan. Ligat otak ku mencari jawapan, mengapa mesti aku lihat dia setiap hari, hampir setiap hari. Malah kadang-kadang bukan sekali sehari.

Alhamdulillah, pertemuan dengan teman sefikrah sentiasa istimewa. Mungkin ada hikmah baru yang dipelajari. Apabila kesedihan diluahkan, pasti nasihat yang akan aku dapati. Namun, pertemuan dengan seorang junior ku di tepi masjid membuatkan aku semakin ligat mencari jawapan. Hanya istighfar aku ucapkan atas kekeliruan yang teramat sangat. Satu yang terlintas ketika itu hanya menjaga pandangan. Mungkin benar Allah ingin mengajar aku erti ‘menjaga pandangan’. Jika ia ditundukkan, pasti tidak aku resah lantaran tidak menyedari kehadirannya walau hanya di sebelah meja.

Junior sekolah yang baru mendapatkan keputusan SPM semalam juga membangkitkan hal yang sama. Hatinya terasa sesak dengan keadaan hatinya yang sedikit sukar menerima keputusannya itu walaupun disyukurinya. Aku mulakan bicara bahawa sesungguhnya cakap lebih mudah dari buat. Sungguh, semua nasihat itu untuk aku sebenarnya. Untuk hati aku. Terlalu banyak berbicara. Di sana sini nasihat diminta dan diberi. Tapi hati ini, hanya Allah yang tahu.

Ya Allah, bantulah aku dalam mujahadah ini. Berilah aku kekuatan untuk mempersiapkan hati ini menghadapMu.

Tuesday, 20 March 2012

bersiaplah untuk Allah

Hari ini, alhamdulillah, diizinkan Allah datang awal ke tempat aku belajar, jalan agak lenggang, parking kereta juga masih banyak yang kosong. Bas dah start masuk ke dalam kampus. Namun, ada beberapa pak guard di kawasan parking staff menarik perhatian aku. Mereka seperti mengawasi kawasan parking. Tapi mengapa mesti seawal 7.30 pagi? Kerja-kerja mereka tidak mengganggu aku. Setelah berlalu di kawasan situ, tahulah aku bahawa mereka memastikan ‘reserved parking’ segera dikosongkan dan kekal kosong. Itu pemerhatian aku.

Aku meneruskan langkah ke café berdekatan. Setibanya aku di sana, aku mencari meja yang agak selesa untuk aku duduk tanpa gangguan fizikal dan spiritual. Aku duduk memerhati persekitaran. Kesungguhan makcik cleaner lap kipas dan lampu menarik perhatian aku. Tanpa aku sedari bilangan makcik cleaner hari ini sedikit bertambah berbanding hari-hari sebelum ni. Seorang makcik memasuki kawasan café dengan kereta tolak yang dipenuhi pasu-pasu hiasan. Lalu diletakkan di tepi tiang-tiang café. Sepertinya ada suatu yang berbeza dari hari-hari sebelum ini. Banner promosi juga siap berbaris di tepi setiap gerai yang ada.

Pelbagai persoalan bermain dalam fikiranku. Cuma satu yang aku terfikir. Kalau kita mampu berusaha sebaik mungkin untuk persiapan menyambut seorang manusia yang mungkin sedikit tinggi darjatnya daripada kita, maka bagaimana kita dengan Yang Maha Tinggi darjatnya? Jika kita sangat mengharapkan pandangan baik seorang yang bergelar manusia, maka di mana pula Allah dalam hidup kita? Apakah kita lebih bersungguh-sungguh? Atau hanya ‘melepaskan ‘batok di tangga’? Nauzubillahi min zalik.. Moga Allah lindungi kita dari syirik samada disedari atau tidak atau diketahui atau tidak.

Monday, 19 March 2012

cinta

Itulah perkataan penuh rasa dan perasaan. Menyebutnya membuatkan jiwa terasa sesak dengan suatu rasa yang tidak akan mampu digambarkan. Manusia tidak akan mampu hidup tanpa cinta. Sungguh, semua yang tercipta ini dicipta kerana cinta. Kita juga hidup kerana cinta. Islam juga tersebar kerana cinta. Jika di’blend’ semua intipati Islam, maka hasilnya hanya dua, iaitu cinta dan benci.

Manusia yang bernama remaja atau pemuda lebih mudah terkesan apabila disebut tentang cinta. Apabila ditanya adakah mereka sedang bercinta, pasti jawapannya berbeza-beza. Ada yang teragak-agak untuk menjawabnya kerana bimbang disalah tafsirkan. Namun, jika benar mereka kira bahawa mereka sedang bercinta, pasti timbul suatu persoalan, adakah benar itu cinta?

Cinta itu suatu yang mulia. Sangat istimewa. Ia bukanlah suatu maksiat atau noda. Silaplah mereka yang mendekati zina mengatakan bahawa mereka telah jatuh cinta, padahal, mereka itu dikira jatuh nafsu, kerana tidak mampu menyalurkannya dengan sebaik-baik cara. Cinta mendekatkan kita kepada Allah s.w.t. Maka, apakah yang telah membuatkan ramai manusia terjatuh ke lembah hina dan semakin melupakan Penciptanya? Itulah maksiat yang telah dihias cantik oleh makhluk bernama Iblis.

Sungguh pelik apabila kita tidak mampu merasai keagungan Pencipta Cinta ini, sedangkan kita sangat teruja merasainya. Bukankah perasaan ini terlalu unik untuk digambarkan? Namun, mengapa hati kita terasa sungguh keras untuk mensyukurinya dan Allah yang menciptakannya? Malah perlu dipersoalkan juga sejauh mana tertariknya kita kepada Pencipta cinta ini berbanding cinta selainNya?

Kadang-kala, kita tidak menyedari bahawa cinta kepada selain Allah telah mengatasi cinta kita kepada Allah. Bersungguh kita ingin mengenali latar belakang si dia bakal teman hidup kita. Teruja kita untuk menimba ilmu sebanyaknya tentang perhubungan sesama manusia yang berlainan jantina. Susah hati kita apabila manusia kurang menyenangi diri kita atau mungkin memandang hina kita. Menyesal kita apabila tidak mampu membalas atau menghargai jasa baik dan pengorbanan mereka terhadap kita.

Namun, wahai hati, bagaimana Allah di setiap sisi itu? Di mana Rasulullah untuk semua aspek itu? Mengapa bukan redha Allah dan syafaat Rasulullah menjadi idaman hati kita? Mengapa cinta kepada Allah dan RasulNya terasa sangat jauh untuk dicapai? Mengapa hati sudah kaku untuk mengejar semua itu? Bukankah pengakhiran kita sangat bergantung kepada semua itu? Bukankah suatu yang pasti bahawa kita akan pergi jauh dan meninggalkan dunia ini?

SKEMA kali ke9 semalam terasa penuh muhasabah. Terlalu banyak lagi yang perlu disiapkan untuk pulang mengadap Allah s.w.t. kerana hidup ini hanyalah suatu perjalanan pulang untuk bertemu dengan Allah s.w.t. Pencipta diri ini, Pemelihara dan Pelindung, juga Yang Paling Mengasihani diri ini. Moga Allah sentiasa sudi memimpin setiap langkahan hidup ini agar sentiasa dalam rahmat dan kasih sayangNya.

Saturday, 17 March 2012

number one for me

Pagi ini penuh muhasabah. Seperti biasa ‘berjalan-jalan’ di ‘laman’ kenalan telah menjadi suatu hobi baru. Terlalu banyak yang boleh didapati dan dipelajari. Salah satu bicara yang menyentuh hati ialah

"If you want to know how will your spouse treat you, affectionate or hostile, observe how he treats his family members" - Pak Arbi, 2006.

Aku membatu, merenung bagaimana aku dengan keluarga. Melihat kembali hidup aku dengan mereka. Aku tahu yang aku selalu memendam cita-cita untuk melakukan yang lebih baik kepada mereka yang bakal mengisi hidup aku yang mendatang. Aku tak pernah mahu mereka melalui hal perit yang sama mahupun suasana sedih yang sama. Juga tidak akan aku biar mereka menangisi hari-hari mereka. Namun, bagaimana diri aku sekarang ini? Siapkah aku untuk semua itu? Atau aku juga akan menzalimi mereka?

Video Number One For Me oleh Maher Zain pula membuatkan aku berfikir panjang. Apa yang aku dah buat untuk si dia yang melahirkan dan bersusah-susah untuk aku? Mampukah diri ini membuatnya tersenyum setiap hari? Juga benar-benar menjadikannya ‘number one for me’? dan juga menyayanginya seperti dia menyayangi aku? Mengasihaninya seperti mana aku dikasihani?

Ya Allah, jadikanlah kami anak-anak yang soleh dan manusia luar biasa pembentuk generasi bertaqwa.

Friday, 16 March 2012

Allah don’t need us

Kita tercipta sebagai hamba, juga sebagai makhluk, juga sebagai manusia, yang tidak punya kudrat melainkan dengan rahmat dan kasih sayangNya. Namun, disifatkan sebagai pelupa begini, kita memang sangat pelupa, sangat mudah lupa dan sangat selalu lupa. Namun, dengan izin Allah jualah kita tergolong dalam kalangan hambaNya yang terpilih untuk sentiasa diperingatkan dari masa ke semasa.

Allah Pencipta dan Rabb yang penuh seni dan kebijaksanaan. Terlalu halus dididik dan dibimbingNya kita ke jalan yang benar. Setiap itu pasti ada hikmahnya. Setiap yang dilalui akan diganjari dan dibalas sesuai dengan kemampuan dan perbuatannya. Bukan kita untuk menghukum mengapa kita dan mengapa mereka. Tapi dengan semua inilah perlu kita pandang dengan penuh kebaikan dan pengajaran.

Hari ini terasa dipenuhi dosa dan kesilapan. Berbicara tentang buruk manusia sesedapnya. Melihat manusia bagaikan kita sebaik manusia. Kata negative dilepaskan begitu sahaja. Namun, Allah memilih untuk menegurku atas setiap satunya. Bicara Ustaz Nouman Ali Khan yang disampaikan pada aku cuma seringkas Allah don’t need us, tapi maknanya sungguh mendalam. Terlalu banyak yang boleh dihuraikan dan terlalu banyak teguranNya untukku di situ.

Kata murabbiku, kadang-kadang, hal yang disampaikan sama, tapi apabila si pemberinya itu berbeza, kesannya terasa berbeza. Pastilah melihat kembali pada kesihatan hatinya. Ada manusia, wajahnya biasa, namun, pandangan terhadapnya terasa luar biasa. Ketenangan dan kedamaian ada di wajahnya. Ada juga yang kulitnya tidak secerah kita, tapi darinya seakan terpancar cahaya.

Ya Allah, bantulah dan bimbinglah kami meniti hari ini dalam mempersiapkan diri untuk pulang menemuiMu.

Thursday, 15 March 2012

aku fitnah buatmu

Hari ni, aku temui kawanku yang aku akan bertemu di café hs setiap kali selesai kelas pada hari selasa dan khamis. Antara yang kami sembangkan hari ini adalah berkaitan dengan perbezaan lelaki dan perempuan. Meskipun diciptakan dengan fitrah dan ciri-ciri yang sama, namun, hakikatnya, terlalu besar bezanya dalam cara hidup, cara berfikir, cara menguruskan masalah dan sebagainya.

Aku pulang sendirian tengahari tu, aku tiba-tiba terfikir tentang satu hal yang aku selalu terfikir tentangnya, namun, aku tahu aku takkan mampu melakukannya. ‘Say sorry to all men’. Ya, memohon maaf, terutamanya buat mereka yang hatinya terganggu kerana silap aku, kerana terlalainya aku dan kerana lemahnya iman aku. Walau mungkin semua itu hanya perasaan aku. Kadang-kadang aku bermonolog sendirian;

“maafkan aku, adam,

andai aku fitnah buat kamu,

andai terganggu ketenteraman jiwamu,

andai hatimu sudah tidak seperti dulu.

Maafkan aku andai aku penyebab kau jadi begitu.

Ketahuilah, adam,

tak pernah aku ingin semua itu berlaku,

tak pernah aku ingin kau terlalai kerana aku,

kembalilah duhai adam,

kembalilah kepada dirimu yang dahulu,

seorang hamba yang mentaati Rabbnya selalu,

yang dirinya sentiasa khusyu’ kerana punya malu,

hatinya juga tenang dek takutkan Pencipta Yang Satu,

wahai adam, ketahuilah, doaku cuma satu,

ampunan Allah atas dosa dan alpanya aku,

juga anugerah terbaik berupa isteri solehah buat dirimu,

yang mana aku pasti bahawa si dia itu bukanlah aku.”

p/s: 'adam' di sini merujuk kepada semua manusia yang bernama lelaki

Wednesday, 14 March 2012

memaksa diri

Saya kira, tiada apa dalam hidup ini yang tidak memerlukan ‘paksaan terhadap diri’ melainkan ke arah sesuatu yang selari dengan nafsu. Misalnya, banyak rehat, banyak makan, banyak hiburan ialah sebahagian dari kesukaan nafsu. Maka, sesiapa sahaja pasti menyukainya dan tidak perlu memaksa diri untuk suka kerana sememangnya itulah nafsu dalam setiap diri kita.

Namun, apabila berkata tentang kebaikan atau suatu yang bertentangan dengan nafsu, pasti lebih susah kerana di saat itu, ‘paksaan terhadap diri’ adalah sangat diperlukan. Apabila proses ini berjalan dalam tempoh yang agak lama, hal itu akan menjadi suatu kebiasaan yang tidak memerlukan ‘paksaan terhadap diri’ malah boleh jadi suatu yang dirasakan perlu dan tidak mampu ditinggalkan.

Hati yang sedar pasti tahu bahawa dia sangat perlukan proses ini kerana inilah yang terbaik di sisi Allah, Pencipta dirinnya. Manakala, apabila hal itu melibatkan sesuatu yang perlu ditinggalkannya, maka pastilah dia akan berusaha sebaik mungkin untuk meninggalkannya kerana itulah yang dibenci oleh Allah s.w.t. Proses ini pasti menghasilkan suatu kebaikan buat dirinya. Itulah janji Allah. Allah ada berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 216 yang bermaksud:

“Diwajibkan kamu berperang, sedangkan ia yang kamu benci. Boleh jadi sesuatu yang kamu benci itu amat baik untuk kamu dan boleh jadi sesuatu yang kamu sukai pula amat buruk untuk kamu. Allah Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.”

Abah Rushdi, murabbiku yang teristimewa ada berkongsi suatu kata-kata yang pernah dikeluarkan oleh isterinya yang tercinta, Cikgu Maimunah, iaitu: “sesuatu yang paling sukar bagi nafsu adalah yang paling Allah suka”. Sungguh, bukan mudah meninggalkan kesukaan diri sendiri untuk mencari redha Allah s.w.t. Moga usaha kita yang sedikit dalam rangka mentaati Allah s.w.t. menjadi suatu amal soleh yang mendapat nilaian di sisi Allah s.w.t.

Memaksa diri saya hari ini untuk meninggalkan katil sedangkan badan tidak begitu sihat ditambah dengan sakit bulanan saya. Tapi Alhamdulillah, Allah hadiahkan kekuatan dan ketenangan. Walaupun terasa berperang dengan diri sendiri. Namun, perlu digagahkan juga kerana tiada uzur syar’ie yang mampu diberikan. Hakikatnya, terlalu banyak yang perlu disyukuri atas semua yang terjadi. Memaksa diri juga saya untuk mentaati Allah, terutamanya dalam menjaga pandangan agar sentiasa memandang segala yang dihalalkan Allah s.w.t. untuk saya.

Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk mentaatimu dan jadikanlah aku hambaMu yang benar-benar seorang hamba.

Monday, 12 March 2012

pasti punya hikmahnya

“…mesti ada hikmahnya…” Itulah kalimah yang biasa disebut-sebutkan apabila ada sesuatu yang menguji rasa atau mungkin tidak pernah dijangka. Hidup ini penuh dengan susunan dan takdir Allah, samada kita menyedarinya atau tidak. Tapi, hanya Allah yang tahu bagaimana hati kita. Sangat tenang menerimanya atau ‘berkata-kata’ tanpa henti. Sungguh, bukan mudah untuk ‘membisu’ hati ini saat hati rasa teruji, tapi sungguh “masa juga sebahagian daripada rawatan”. Allah juga ada berfirman dalam Surah Al-Ankabuut, ayat 2 yang membawa maksud:

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?"

Hari ini, sangat teruji dengan “sakit”. Bangun pagi dengan rasa sangat lemah. Sakit tekak. Kepala terasa pening. Hidung rasa nak selsema. Mungkin kerana aku yang minta, kerana jarang teruji dengan “sakit”. Hati pun berkata-kata kalau teruji dengan penyakit itu seronok? Syaitan.. Syaitan.. Namun, perlu digagahkan diri. Makcik Huda lebih sakit dan lebih letih berbanding aku. Itu yang aku terfikir.

Pagi tu pergi kelas soca, lecturer batuk-batuk. Selalu batuk. Pelajar juga kedengaran begitu, ada yang tak sihat. Hakikatnya, bukan kita saja yang Allah uji. Malah, kadang-kadang, apalah sangat ujian kita berbanding dengan makhluk Allah yang lain. Isu di Syria kini sebahagian daripada pengajaran, begitu juga Gaza dan Somalia. Bersyukurlah wahai diri dengan sebenar-benar syukur.

Petang tadi, main basikal dengan kawanku bernama Munirah. Dia pun tak sihat, walaupun aku tak perasan semua tu. Allah izin, jatuh basikal. Bak kata kawanku, “satu pengalaman”. Aku cuma terfikir yang aku telah lama meninggalkan makhluk bernama basikal, dan untuk belajar kali kedua ini, tentu ada ujian dan cabarannya. “Sakit” itu mesti. ‘Ala kulli hal, pasti ada hikmahnya.

Dinner malam tu, beli kat Maryam, café makcik yang sentiasa dirindui. Makcik mengadu rasa mengantuk seharian tu. Taktau kenapa. Kak Ida pula kehilangan satu-satunya cahaya mata anugerah Allah buatnya, Khairunnisa’ nama diberi. Menghembuskan nafas terakhir tanggal 1 Mac yang lalu di samping keluarganya di Indonesia. Tenang aku lihat kak Ida, walaupun aku yakin jauh di sudut hatinya, perasaan bercampur baur. Siapa tak sedih kehilangan anak yang baru berumur dua tahun. Moga Allah kurniakan Syurga buat kak Ida dan suami.

Ya Allah, masukkanlah kami dalam kalangan hambaMu yang sedikt, iaitu menjadikan kami hamba-hambaMu yang bersyukur, yang sentiasa bersyukur. Ampunkan kami, Ya Allah..

Sunday, 11 March 2012

mula mengorak langkah

Malam ni aku memula menulis. Bicara presiden kelab itu sangat terkesan pada diri aku. Aku ingin turut menyumbang, tapi aku berfikir, entah apa yang akan menolak aku menulis tanpa henti. Dulu pernah mencuba, tapi berhenti sekian lama. Seusai solah berjemaah di program tu, aku tahu, hanya IMAN dan IKHLAS tunjangnya. Aku cuma terfikir yang aku mungkin akan berdosa tidak menggilap minat dan potensi ini untuk Islam, sedangkan aku sedar dan aku tahu, tidak ramai punya fikrah islami dan tidak ramai punya potensi ini.

Aku perlu bertanggungjawab. Mulakan dengan coretan atau Cuma catatan harian. Memikirkan peningkatan dan kemajuannya. InsyaAllah, aku yakin satu perkara, bila kita buat untuk Islam dan kerana Allah, Allah pasti bantu. Pasti. Itu satu yang pasti. Allah ada berfirman dalam Surah Muhammad, ayat 7, yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”

Ya Allah, bantulah aku. Tetapkan hati ini dalam taat padaMu. Izinkan aku menyumbang sesuatu untuk Islam, sebagai bekalan pulang mengadapMu.