Tuesday, 13 August 2013

Bagi ku, mereka ialah suatu nikmat

Alhamdulillah, Allah hadiahkan aku rasa cinta bahasa arab yang tinggi. Terkadang, aku rasa unik dengan rasa hati sendiri. Perasaannya yang berkobar-kobar untuk menggunakannya. Rindu yang menusuk jiwa. Hingga rasa tergila-gila. Tak mampu aku duduk diam, melainkan setelah perasaan itu reda.

Aku tak pasti bila semua ini bermula, tapi aku masih ingat tika aku di matrik nilai, kelas maharat kalam sem pendek tu bukanlah kewajipan aku, tapi aku suka mengahdirinya. Allah izin, aku termotivasi untuk tetap bertutur dalam bahas arab walau teman-temanku menjawabnya dengan bahasa melayu. Kerana kata ustaz yang mengajar kelas tu, bercakaplah arab dengan sesiapa pun dan di mana saja kamu berada.

Tapi sayangnya, aku berhenti tika aku cuti menanti masuk ke main kampus. Cuti panjang tu, aku tak temui sesiapa yang memahami arabku, lantas berhabuklah ia dalam benakku. Pernah aku cuba untuk memulakan semula, tapi tidak aku temui, melainkan hanya rasa malu dan putus asa.

Syukur pada Allah saat Allah membuatkan aku sedar di tahun keduaku di uia, betapa Ummah dan Deen ini menuntut ‘mahir’. Aku perlu mahir dalam bidangku. Kerana segulung ijazah itu nanti hanya berhabuk di almariku. Bukan tidak penting, tetapi nanti hanya akan menjadi kunci untuk menemui manusia, dan ia bukan kayu ukur untuk diriku sendiri. Kerana ilmu itu apa yang bermanfaat untuk orang lain, bukan yang ku hafal  bertahun-tahun tanpa menggunakannya.

Sejak detik itu, suka aku membiasakan diri untuk bertutur dalam bahasa ini. Pernah aku melalui fasa penat berfikir dan menyusun ayat untuk semua ni, hingga aku terasa bosan dan datang rasa putus asa. Tapi aku tahu aku perlukannya, dan temanku Rashidah Sauji di sisi ku saat itu sentiasa membuatkan aku termotivasi. Sungguhlah kita memerlukan teman dalam melakukan sesuatu dan ianya pasti terasa lebih mudah dengannya.

Setelah itu, aku prefer untuk memilih bahasa arab untuk berkata-kata dengannya hingga pernah suatu ketika, aku katakan padanya yang aku teringin sangat untuk bersembang dengannya dalam bahasa arab, walau saat itu dia malu dengan seorang pelajar arab yang berada berhampiran kami. Entah kenapa saat itu rasa rindu tu membuak-buak. Sungguh, aku benar-benar rindu dan hanya akan puas setelah menuturkan bahasa ini.

Namun, Allah menguji ku saat temanku ini bertukar ke kursus lain, dulunya bahasa arab seperti aku, kini fiqh dan kami tidak mampu berjumpa sekerap dahulu. Dalam hati kecil ini, aku rindu untuk bersembang arab lagi. Namun, saat kami mula berenggang itu, aku mendapati Allah menghantarku sebaik-baik pengganti. Kini, aku mendapati teman dari pelbagai negara hingga aku sentiasa mempunyai teman untuk menuturkannya, malah mungkin sahaja menuturkannya setiap masa, jika aku menghendakinya.

Dan bagi ku, mereka ini nikmat dari Allah untuk ku. Allah menghantarnya saat aku tak pernah terfikir yang aku akan mendapati pembantu dan pendorong sebanyak itu. Hingga kadang-kadang, aku mampu memilih, dari Negara mana aku kehendaki. Bukanlah Allah menghantarnya sekaligus, namun, kebetulan-kebetulan itu banyak dan pernah berturut-turut, hingga terkadang, aku ternanti-nanti, siapa pula selepas ini?!

Di samping kesediaan mereka untuk membantuku, aku mendapati kesabaran mereka melayani kekurangan aku dalam bertutur. Diperbetulkan saat aku tersilap. Ditambah pula dengan ilmu yang tak pernah aku tahu. Aku terasa unik mendapati mereka dalam hidup aku. Namun, aku bersyukur. Saat teman-temanku buntu mencari teman arab, tika mereka tidak tahu bagaimana hendak disiapkan kerja yang diberi, aku punya satu senarai teman hingga aku biasa pilih mengikut kecenderunganku dan bengantung pada kemahiran dan personaliti mereka yang pelbagai.

Alhamdulillah, itu sahaja ucapan selayaknya, kerana aku tak pernah merancang semua itu, malah tidak pernah terlintas di benak ini.

No comments: